Saturday, June 16, 2012

Catat Hamil III - Oh, kencing kotor la pulak !

Pejam celik, pejam celik, saya sendiri tak perasan saya kandungan saya sudah masuk minggu ke-33. Cepat sungguh masa berlalu. Kandungan kali ini agak berbeza dengan kandungan yang lepas2. Mungkin faktor usia. Hebat sungguh dugaan mengandung pada usia 30-an. Urusan rumahtangga, anak2 sekolah, urusan bisnes kecil saya... rasa macam nak jadi super power mom. Tapi, tenaga tetap kurang. Bila dah masuk usia kandungan 32 minggu saya telah hentikan aktiviti membuat roti. Sangat tidak larat.... bukan mudah nak membuat roti hari2.

Minggu ini, saya sendiri merasakan ketidakselesaan pada perut saya. Saya merasa sangat sakit di bawah perut, rasa pedih yang teramat, susah nak berdiri, susah nak membongkok, rasa tak boleh nak jalan. Hampir seminggu saya berkeadaan begitu. Sakit datang agak kerap, dan mudah juga hilangnya. Bila rasa sakit datang, apa yang boleh saya buat untuk redakan kesakitan hanyalah berbaring sahaja. Bila berbaring, rasa sakit akan berkurang. Tapi, sampai bila saya asyik nak berbaring. Saya punya tanggungjawab lain yang perlu saya uruskan.

Dalam tempoh 2 hari ini, kesakitan saya pada perut semakin menjadi2. Bila datang rasa pedih dibahagian kanan bawah perut, saya rasa kaki semakin lemah. Masa tu la saya rasa saya akan terus terduduk walau di mana saja saya berada. Di dapur, di dalam bilik air, di ruang tamu, di depan pintu atau di mana saja. Susah nak kata sakitnya bagaimana. Kencing saya juga saya akui, memang tidak lawas. Kejap2 rasa nak terkucil.

Akhirnya, saya tak boleh tahan diri lagi. Saya ambil keputusan untuk mendapatkan rawatan doktor. Malas mahu ke klinik kerajaan, saya hanya ke klinik swasta berdekatan. Doktor membuat pemeriksaan ke atas saya, dan doktor meminta saya untuk membuat ujian air kencing. Selepas mendapat keputusan, sah.... saya mengalami kencing kotor. Baru saya tau kenapa saya merasa begitu sakit sekali di bahagian perut. Alhamdulillah, rasa lega bila kita ketahui penyebab sakit itu datang. Dengan itu, dapatlah diselesaikan dengan baik. Doktor bekalkan antibiotik dan 2 jenis ubat lain sebagai tahan sakit.

Sebenarnya, saya pernah melalui saat kecing kotor ketika hamil semasa mengandungkan Hijaz dahulu. Cuma, ketika itu, langsung tiada simptom seperti sekarang. Saya langsung tak merasa sakit seperti ini. Cumanya, masa pemeriksaan hamil di KK, nurse sahkan saya mengalami kecing kotor dan perlu rujukan doktor pakar di HSB. Ketika itu, saya cuma merasa kencing tidak lawas saja. Dan Doktor bekalkan antibiotik juga pada saya.

Antibiotik, ubat sakit perut dan ubat buang angin....

Saya tahu, kencing kotor yang tidak dirawat akan mendatangkan mudarat pada diri sendiri dan bayi dalam kandungan. Risaunya saya.... tak terfikir langsung akan masalah ini. Tapi, Alhamdulillah, Allah gerakkan hati saya untuk mendapatkan rawatan bagi mengetahui punca masalah saya.

Selepas sekali makan, saya terus tidur, dan bangun dari tidur, saya merasa sangat lega. Sakit tiada lagi. Cuma saya perlu teruskan pengambilan antibiotik sehingga habis. Sesungguhnya, Allah Maha Penyembuh. Terima kasih Allah!