Wednesday, May 09, 2012

Minggu pertama Sofie di PDK

Minggu ni, minggu pertama Sofie mulakan kelas PDKnya. Cuti hari pekerja lepas, 1 Mei, Sofie telahpun mendapat jemputan dari pihak PDK Batu Arang untuk menerima bantuan dari JKM. Saya agak terkejut juga, kerana sebelum tu, Sofie belum pun mulakan kelasnya. Sepengetahuan saya, untuk seseorang anak istimewa itu menerima bantuan dari JKM, mereka perlu hadirkan diri ke kelas PDK sekurang2nya 8 kali sebulan. Tapi, dah namanya rezeki buat Sofie..... penyelia PDK, Kak Milah kata, memang sengaja dia masukkan Sofie kerana Sofie boleh mulakan kelasnya pada bila2 masa sahaja. Gembira hati seorang ummi. Kami telah pun mula mendaftarkan Sofie pada awal tahun hari tu. Tapi, memandangkan PDK Batu Arang yang agak penuh dengan pelatih, jadi, Sofie di'KIV' sementara sehingga mereka memanggilnya. Dan..... inilah masanya!

8 Mei, semalam.... merupakan hari pertama Sofie ke PDK. Saya agak teruja, bangunkan Sofie seawal pagi. Alahai..... agak runtun juga hati ini. Waktu tidur Sofie diganggu dgn gangguan ummi. Minta dia bangun, mandi siapkan diri ke kelasnya. Saya sampai ke PDK agak awal juga berbanding anak istimewa lain. Ramai lagi yang belum datang. Kelas masih lengang. Yang ada cuma penyelia dan pembantu2nya, serta beberapa orang anak istimewa lain. 

Sofie melangkahkan kaki ke kelas. Dan agak teruja. Terus menempatkan dirinya di kerusi khas untuk anak2 istimewa ini. Saya dan suami sempat meluangkan sedikit masa bersembang dan beramah mesra dengan penyelia. Baik orangnya, lemah lembut dan peramah. Sesuailah tugasnya sebagai Penyelia PDK. Lega hati saya...... Saya sentiasa berdoa, moga2 anak2 saya termasuk Sofie mendapat guru2 yang baik. Dan Sofie juga telah pun mendapat guru yang baik, Alhamdulillah. :-)

Leka tengok kawannya menyusun warna krayon

Sungguh Sofie tak de perasaan agaknya....
Ummi dah nak balik dah waktu ni, tapi dia buat tak tahu jer....

Selepas lebih kurang setengah jam meluangkan masa di PDK, saya dan suami mengundur diri. Membiarkan Sofie di kelasnya. Hati sekali lagi gundah. Rasa terharu meninggalkan Sofie bersama teman2 dan guru2nya. Tapi, hati perlu kuat. Sampai bila saya perlu menyimpan Sofie di rumah sahaja. Sampai bila hanya nak mengharapkan terapi2 di hospital yang entah beberapa bulan sekali. Jadi, inilah masanya.... Sofie makin menginjak usia, hampir masuk usia 5 tahun. Jadi, sebagai ibubapa, saya perlu bertindak sekarang demi masa depannya yang lebih baik. 

Hari ini, 9 mei 2012.....
Hati saya sekali lagi terhiris.... mengalir laju airmata melihat Sofie yang ingin ke kelas PDKnya. Hari ni, rasanya cabaran hati seorang ummi lebih hebat. Kerana, hari ini merupakan hari pertama Sofie pergi sendirian menaiki van tanpa abi dan ummi. Hanya bersama Aunty Anna dan kawan2 istimewa Sofie dalam van itu. Saya kelihatan ok sahaja masa menghantar Sofie masuk ke dalam van. Tapi, Sofie kelihatannya seperti anak yg sedang keliru. Apa agaknya yang berlegar di fikiran Sofie? Agaknya, Sofie berkata kenapa ummi sanggup biarkan Sofie sendirian dalam van tu? Sebelum van mula bergerak, saya sempat mencium pipi Sofie, dan Sofie mencium tangan saya. Siap lambai tangan lagi, walaupun riak wajah Sofie agak keliru.

Masuk dalam rumah, saya tak dapat menahan air mata. Laju je air mata turun mengenangkan Sofie yang duduk dengan baik dalam van tu. Hijaz nampak saya menangis, dengan prihatinnya, terus bertanya, "Umi kenapa? Umi janganlah nangis." Lagi laju airmata saya jatuh. "Kita doakan kakak ye dik." 

 Sofie, pagi tadi.....
Sabar menunggu van Aunty Anna.

Bersama adik Ijaz sebelum berangkat..... Lawak je tengok muka Ijaz baru bangun tido dengan muka cam tu :-)

Sejam kemudian, saya menghubungi Kak Milah, Penyelia PDK. Saya bertanyakan keadaan Sofie. Alhamdulillah, Kak Milah kata, Sofie ok sangat. Gembira je dia. Kak Milah siap gelakkan saya lagi dengan kerisauan saya pada Sofie. Lepas dengar Kak Milah kata Sofie baik2 aje, hati saya sangat2 lega..... Ya Allah, berikan Sofie kekuatan. Berikan saya kekuatan juga!

Setakat ini kisah gembira yang mencuit hati saya berkaitan anak dara saya. Doakan ye semoga Sofie baik, dan berjaya. :-)