Assalamualaikum semua, salam penuh kebahagiaan. Semoga semua dilimpahkan rahmat dan kasih sayang Allah Taala. Sekian lama menyepi kerana masalah yang malas untuk diungkit semula. Saya kembali menyinari dunia blogging. Macam la diri ini bergitu berharga buat semua, kan? Hehehehe....
Saya menerima beberapa pesanan berkaitan bagaimana mahu mengajar anak solat 5 waktu. Huhuhuhu, syahdunya, macam la saya ni pakar mendidik anak. Tidak begitu ye puan-puan sekelian. Saya juga sentiasa memperbaiki diri dan mencari bagaimana mahu menjadikan generasi kita generasi Muslim yang unggul dan berkualiti. Belum berhasil lagi ni! Saya boleh berkongsi sedikit pengalaman saya mengajar anak2 saya, Ikhwan dan Amniy terutamanya. Insya Allah, semoga ia bermanfaat untuk semua.
Tip 1 : Pastikan anak2 sudah terbiasa melihat pemandangan orang bersolat sedari kecil. Maksudnya, ibubapa di rumah WAJIB solat 5 waktu sehari semalam. Tak boleh culas! Seboleh-bolehnya, biarlah ibubapa itu sentiasa solat berjemaah bersama. Tapi, kalau si bapa perlu ke surau atau masjid, biarlah anak2 bersolat dengan ibu.
Tip 2 : Sediakan sejadah kecil buat anak2 walaupun anak2 anda masih berusia setahun, 2 tahun atau 3 tahun. Kerana, kalau ibubapa menyediakan sejadah untuk anak2, secara automatik, dengan sendirinya, mereka dah tahu, "Ohw, sejadah ini untuk adik solat dgn ibu dan ayah." Sekiranya dari kecil sudah terbiasa dengan keadaan ini, ibubapa tidak perlu bersusah payah memberitahu bahawa solat itu WAJIB bagi setiap Muslim. bagi anak perempuan, mungkin ibubapa boleh menyediakan telekung kecil. Tapi, untuk Sofie saya hanya menyediakan tudung sahaja. Tu pun pakai kejap, tanggal cepat. :-D
TIPS 3 : Pastikan ibubapa mengajak anak solat berjemaah sekali. Beritahu anak solat itu perintah Allah. Bukan perintah ibubapa.
TIPS 4 : Bila anak sudah berusia 5 atau 6 tahun, cuba perdengarkan mereka bacaan-bacaan dalam solat.
Anak2 saya tak sekolah tadika, jadi mereka langsung tiada pendedahan awal apa yang perlu dibaca dalam solat mereka. Sebelum ni, mereka hanya mengikut pergerakan solat abi dan ummi sahaja. Amat beruntung bagi ibubapa di luar sana yang menghantar anak ke sekolah tadika Islam yang sudah mengajar anak2 kecil membaca bacaan dalam solat. Saya berperang dengan perasaan, bagaimana mahu mengajar anak membaca setiap bacaan dalam solat. Saya bertanya pada ibubapa yang berpengalaman, saya surfing internet dan macam2 lagi saya buat untuk mengenalkan anak2 saya dengan setiap bacaan dalam solat ini.
Alhamdulillah usaha tidak putus asa mengajar mereka setiap bacaan dalam solat, berkesan. Allah beri jalan pada saya untuk memberi ilmu ini buat anak2. Apa yang saya buat? Setiap kali waktu solat, Maghrib terutamanya, saya akan solat Maghrib dahulu. Kemudian, saya akan minta 2 anak lelaki saya solat, sambil ikut apa yang saya baca, dengan bacaan yang KUAT. Satu rumah dengar! Usaha ini perlu dilakukan setiap hari, setiap waktu. Saya mengajar anak2 saya menghafaz setiap bacaan dalam solat dalam lebih kurang 2 minggu sahaja. Alhamdulillah, mereka sudah boleh menghafalnya. Bila anak2 kita sudah boleh membaca al-Quran, mereka akan mudah membaca bacaan dalam solat. Ye la, setiap buku2 panduan bacaan dalam solat kan semuanya tulisan al-Quran. :-)
Yang paling best, bila anak kedua saya, Amniy Mahfuz juga turut serta menghafal setiap bacaan dalam solat. Usia Amniy 5 tahun, dia sudah mampu solat bukan hanya dengan pergerakan sahaja, tetapi, cuba sempurnakan solat dengan bacaan2 wajib dan sunat. Alhamdulillah.... Saya sentiasa berdoa, " Ya Allah, Kau permudahkanlah aku mengajar anak2ku mengerjakan perintah-Mu ini. Kau jadikanlah anak2ku anak2 yang tidak meninggalkan solat." Inilah doa saya setiap hari, setiap waktu. Ingat! Doa ibu itu insya Allah dimakbulkan Allah.
Tips 5 : Bila anak dah boleh solat dengan sempurna, sentiasalah mengingatkan mereka bahawa solat itu perintah Allah. Solat anak2 saya pun masih belum sempurna, ye la... budak,kan? Sedangkan kita yang dewasa ni pun belum tentu solat kita sempurna. Kadang, anak2 ni sambil bersolat tergaru sana, tergaru sini, siap goyang2kan badan lagi. Tak mengapa, itu semua proses pembelajaran, supaya anak2 tahu solat itu ada rukun2nya tersendiri. Dalam pada tu, ibubapa perlu beritahu anak, apakah perkara yang boleh membatalkan solat mereka.
Dalam hal saya, pernah beberapa kali Ikhwan ikut berjemaah sekali bersama saya dan suami. Sedang solat dia boleh bercakap dengan Amniy, siap gelak2. Dah tu, dia siap mendahului imam. Lepas saya selesaikan solat saya, saya minta Ikhwan bersolat semula, dan beritahu dia apa yang dia buat tadi boleh batalkan solat dia. Walaupun agak merungut sedikit, dia akur dengan arahan saya. :-D
Tips 6 : Pujilah anak bila mereka selesai tunaikan solat. Minta dia bersalam dengan kita, dan ibubapa berilah kata2 motivasi supaya anak2 akan terus bersolat. Perkara yang saya selalu buat, apabila anak2 saya selesai solat, mereka akan mencium tangan saya dan suami, sambil berdoa dalam hati, semoga anak ini menjadi anak soleh.
Mungkin tips dari saya ini kurang cukup. Tapi, setakat ini, Alhamdulillah, saya boleh aplikasikan untuk anak2 saya. Saya cuba mendidik mereka agar tidak meninggalkan solat. Dalam sehari, Ikhwan boleh solat 5 waktu sehari semalam, dia akan berkata, "Umi, hari ni solat Iwan cukup 5 waktu". Dia pun rasa seronok dapat tunaikan perintah Allah yang satu ini.
|
Masih dalam proses pembelajaran. Tengoklah, kaki pun tak betul lagi. |
|
Syahdu tak hati seorang ibu bila melihat anak solat subuh sebelum ke sekolah? | |
Pic kedua tu saya ambil secara sembunyi dari belakang, apabila saya berjalan melintasi bilik, saya lihat Ikhwan sedang solat subuh. Alhamdulillah.... Kadang2 rasa nak mengalir airmata bila melihat dia tunaikan perintah Allah ini tanpa kita suruh!
Semoga semuanya bermanfaat buat semua pembaca. Wallahua`lam.....