Showing posts with label didikan mulia. Show all posts
Showing posts with label didikan mulia. Show all posts

Wednesday, February 15, 2012

Didik Anak Dengan Sifat Amanah

Assalamualaikum.
Sekali lagi, halaman peribadi ini telah diabaikan oleh tuannya.... Haaaaa, macam biasa, alasan yang sama. Sibuk, sibuk, sibuk. Walau banyak cerita nak dikongsikan, tapi bila dah asyik bertangguh, banyak la cerita dah lupa dan basi. Terutamanya cerita Sofie..... Banyak dah basi. Insya Allah, lain kali saya cuba gagahkan diri bercerita tentang anak dara yang sorang ini.

Pagi2 ini, kuat hati menulis tentang amanah dalam diri. Didik anak2 dengan sifat amanah, baru je terkena pada saya. Bukan senang nak didik anak dengan sifat2 Nabi, tapi ibu bapa harus kuat hati memberi pendidikan terapkan sifat2 Nabi dalam diri anak2.

Kisahnya begini, Ikhwan, anak sulung saya diamanahkan oleh saya untuk membawa roti ke sekolah. Kawan2 Ikhwan menempah roti. Bukan banyak pun, 3 ketul je. So, pagi tu saya pesan dengan Ikhwan, "Nanti kawan2 dah bagi duit, simpan duit elok2. Balik kang bagi ummi duitnya."

Tengahari itu Ikhwan balik rumah dengan riang gembira. Sambil menunjukkan permainan yang dia baru beli dari gerai di bus stop sekolah. Sofie dan Hijaz mulalah sibuk nakkan permainan yang abang Iwan beli.

Saya tanya, "Eh, mana dapat duit beli benda ni?" 

Dia jawab, "Duit belanja abi bagi tadi la." 

Pelik juga saya. Saya tanya lagi, "Iwan tak belanja makan ke tadi. Siap beli permainan lagi."

Dia jawab, "Makan, mi. Iwan beli keropok lekor 2 bungkus. Air satu."

"Hai, lebih dah belanja Iwan pagi ni ye. Semua tu dah 3 ringgit." Saya diam seketika, dan menyambung, "Mana duit roti yang kawan Iwan bagi. Kawan bayar tak?" 

Dengan muka rasa bersalahnya dia menjawab, agak teragak2, "Mmmmm, Iwan dah belanja." 

"Semua sekali?"

Dia mengangguk, jujur sekali anak saya ini. Mula la saya nak brain wash budak ini. Saya mula bersuara.

"Haaa, kan.... sekarang ummi dah nampak Iwan belum ada sifat amanah dalam diri. Ummi amanahkan Iwankan tadi, lepas dapat duit dari kawan, Iwan kena simpan duit dengan elok, dan bagi ummi duit tu. Sekarang, tengok apa Iwan,dah buat. Iwan belanjakan semua duit tu."

Ikhwan diam je.... Saya sambung lagi membebel sambil menggosok baju sekolah kebangsaannya, "Iwan tahu kan, amanah tu sifat siapa?"

Dia menjawab ringkas, "Sifat Nabi."

Saya tanya dia kembali, "Iwan tak nak ikut sifat Nabi ke?"

Dia jawab, lemah je suaranya, "Nak."

Saya sambung la bertanya, "Iwan tak nak ikut Nabi masuk syurga ke?"

"Nak."

"Macam mana nak ikut Nabi masuk syurga kalau Iwan tak nak ikut sifat Nabi?" Dia diam je sambil belek2 permainan yang baru dibelinya. Saya menyambung, "Ok.... ummi maafkan Iwan walaupun Iwan tak minta maaf. Hari ini, ummi denda Iwan. Boleh?" Dia mengangguk.

Saya sambung, "Sekolah petang ni, Iwan tak de belanja ye. Iwan kena makan kenyang2 kat rumah dan bawa air ke sekolah. Kat sekolah nanti Iwan tak yah belanja. Ummi bukan kedekut, ummi cuma nak Iwan sedar, Iwan dah buat silap. Sepatutnya Iwan kena bagi duit roti tu kat ummi, tapi Iwan belanja habis duit tu."

"Ok, ummi."

Ikhwan bersiap ke sekolah petang itu dengan agak kelam kabut. Dia makan nasi dengan banyak, 3 pinggan! Mungkin dia sedar, waktu rehat nanti dia tak ke kantin untuk makan. Saya buatkan air sirap kurang manis untuk bekalan dia ke sekolah. Biasa bawa air putih je, tapi, memandangkan saya juga rasa kesian dengan dia, biarlah saya sediakan air manis sedikit supaya dia ada selera untuk minum air. 

Hati saya mula goyah bila tengok Ikhwan memakai kasut sekolah. Saya mahu mengambil wang sedikit untuk beri padanya.... Tapi, saya cuba kuatkan hati, bertegas dalam diri, katakan pada hati, "Ini pengajaran buat Ikhwan." Saya tak mahu, nanti Ikhwan akan kata, sebenarnya ummi cuma cakap je, tapi tak buat pun. Saya tak mahu lain hari dia ulang kembali kesilapan yang dia lakukan hari ini. 

Sebelum dia melangkahkan kaki ke van sekolah, Ikhwan bersalaman dengan saya dan berkata, "Sorry eh mi!". Alahai.... runtun hati saya,  saya bertanya lagi, "Iwan ok ke?" Dengan riang dia menjawab, "Ummi jangan risau. Iwan OK. Tak de belanja pun Iwan ok je. Air kan ada... " Gelak je dia. Saya lega sebenarnya, tapi, saya tetap terfikir, bagaimana la agaknya Ikhwan di sekolah. Kawan2 lain semua rehat ke kantin, tapi Ikhwan cuma minum air sirap je. Alahai....... hati goyah!

Mungkin bagi sesetengah orang, ala... apa la sangat dengan RM3 tu. Dengan anak pun nak berkira! Tapi, tidak bagi saya, walaupun cuma RM3, ia tetap salah apabila dia tidak pegang pada amanah yang saya letakkan padanya. Saya mahu ajar anak2 saya sebaik mungkin dengan penerapkan sifat2 mulia dalam diri. Saya masih belum berjaya sebenarnya. Banyak lagi sebenarnya yang perlu saya perbaiki, dan saya pelajari.

Saya amat berharap ini dapat dijadikan pengajaran buat Ikhwan. Menjadi seorang anak Muslim unggul bukan mudah sebenarnya, mendapat redha Allah, bukan tugas mudah, masuk syurga juga bukan mudah. Masuk neraka amat mudah! Saya dan suami selalu berkata pada anak2 kami, kalau nak masuk syurga kena susah dulu di dunia. Kena solat, kena mengaji, tak derhaka, ikut apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Ingat senang nak buat semua tu..... Mmmmmm.... tepuk dada, tanya Iman.

Sekian untuk kali ini. :-)

Thursday, April 22, 2010

Memeluk dan mencium anak sebagai terapi

image dari sini

Saya terpanggil untuk mencoret sesuatu berkaitan gambar hiasan di atas, ekoran 2 hari lepas ada perbincangan mengenainya di forum Ratuhati dan facebook. Setelah meminta izin daripada empunya artikel, Norlaili Salleh, saya seronok untuk mengaitkan artikel ini dengan perkembangan kesihatan anak saya, Sofie Mariah. Artikel ini saya copy paste dari nota facebook Ratuhati. Terima kasih kak Laili kerana memberi keizinan.

Dear jelitawans Ratuhati yang dikasihi,

Bila anda berhenti memeluk dan mencium anak anda bermakna anda seorang ibu yang bermasalah. Pelukan dan ciuman terhadap anak adalah sangat penting untuk perkembangan mental dan fizikal anak. Nabi Muhammad s.a.w sendiri sangat suka memeluk dan mencium anak-anak baginda hatta cucu-cucu baginda sendiri iaitu Saidina Hassan Dan Saidina Hussin r.a.

Anak-anak pra matang yang dilahirkan boleh membesar dengan sihat dan kuat bila sentiasa diusap dan diurut perlahan-lahan di dalam inkubator. Anak-anak yang sedang dalam keresahan atau susah nak tidur, kalau diusap-usap, digosok-gosok atau dipeluk-peluk sambil kita membisikkan ayat suci al quran,insyaALLAH akan mudah lena dan jauh dari gangguan iblis syaitan.

Demikian juga anak yang sedang meragam atau mengamuk, kalau kita memeluk dan menciumnya,pelukan dan ciuman itu boleh menenangkan jiwa anak tersebut. Perbuatan ini haruslah dilakukan berterusan sehinggalah anak itu dewasa lebih-lebih lagi di antara anak perempuan dan ibu. Anak lelaki ada batas-batas tertentu yang harus dijaga.

Saya tidak mahu mengupas dengan lebih panjang kerana ingin memberi peluang kepada jelitawans yang bijak laksana memberi pandangan pula. Cuma saya sudahi,kalau anda sudah berhenti memeluk dan mencium anak anda,anda memang seorang ibu yang bermasalah.


teringat bayi² pramatang kat NICU....
ada yang mak pak jarang jenguk, ada yang stay 24 hrs
ada yang kerap melawat walo pun tak stay 24 hrs macam saya ni
saya jenguk Syafiah tiap hari, dari pagi sampai ke malam
malam saya balik pun pukul 10
boleh nampak beza siapa yang kuat fight, siapa yang stay the same
saya sering melawat anak² yang umpama tiada ibu ayah tersebut
sekadar memberi salam dan ucapkan kata semangat
tak berani nak sentuh sebab anak orang

anak² pramatang yang sering diusap dan sering dibawa berborak
lebih pantas perkembangannya... sekali pun dia pernah melalui fasa kritikal

Semasa rakan-rakan berbincang berkaitan isu ini di forum RH dan facebook, hati saya terusik. Saya mula terfikir, adakah pelukan dan ciuman buat si anak merupakan terapi untuk anak cepat sihat? Jawapan saya, YA! Saya sendiri telah mempraktikannya semasa Sofie berada di PICU, IJN.

Aktiviti saya setiap hari, sepanjang 6 hari Sofie berada PICU, tiap kali waktu melawat, saya akan berada di sisi Sofie sambil menyentuh wajah Sofie, mengusap tangan Sofie, mencium dahi dan pipi Sofie. Saya tak pernah jemu. Saya juga cuba memeluk Sofie, walau pelukan tidak erat kerana badan Sofie berselirat dengan wayar. Suami saya selalu marahkan saya, katanya, jangan buat Sofie terjaga. Saya dah tak peduli apa pun, yang penting Sofie dapat rasakan kehadiran saya di sisinya. Sambil saya lakukan itu semua, saya akan mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat Sofie. Saya bacakan selawat ummi di telinga Sofie beserta ayat-ayat suci al-Quran. Saya percaya ini sebagai terapi buat Sofie.

Saya masih ingat kembali, selepas Sofie selesai menjalani pembedahan pada 31 Mac lalu, suami memberitahu saya, supaya saya tidak perlu datang esoknya kerana pembedahan telah selesai. Lagipun, saya mempunyai masalah kenderaan untuk ke IJN ketika itu. Masa tu, air mata saya mengalir laju. Dalam fikiran saya, mana mungkin saya akan membiarkan Sofie begitu, tanpa umisofie melawat, menjenguk, mengusap, memeluk Sofie. Setelah berfikir pelbagai cara, akhirnya Allah beri jalan kepada saya. Terima kasih buat Wak Hussin dan mak Jas saya yang berada di Hulu Langat, atas susah payah mereka menghantar dan menjemput saya setiap hari.

Jadi, peluang yang telah diberikan ini, saya gunakan sebaik mungkin untuk terus bersama Sofie. Sungguhpun waktu itu Sofie masih belum sedarkan diri, saya amat pasti, Sofie tahu umi dan abi datang setiap hari mendoakan kesejahteraan buat Sofie. Sebenarnya, menurut doktor, masalah jantung Sofie agak rumit, dan sudah kritikal. Sofie pula anak down syndrome, jadi harapan Sofie untuk pulih sangat lambat. Dengan antibodi Sofie yang lemah... memang lambat.

Bagi saya, 6 hari Sofie di PICU, suatu yang membanggakan. Lagipun Sofie sering beri kerjasama dengan doktor dan nurse. Ada ibu-ibu yang anak mereka berada di PICU terkejut bila Sofie dah dipindahkan ke wad biasa. Kata mereka, "cepat ye Sofie pindah kat wad biasa." "Cepat sembuh, boleh balik rumah." Saya cuma balas, "Alhamdulillah, kuasa Allah semuanya." Doktor membuat andaian itu dan ini mengikut teori mereka. Tapi semuanya di tangan Allah. Mungkin juga kuasa sentuhan, belaian, pelukan dan ciuman si ibu mampu membuatkan anak yang sakit terus kuat berjuang untuk meneruskan kehidupan.

Jadi, ibu-ibu, bapa-bapa, teruskan memeluk dan mencium anak-anak. Walaupun anak anda sihat, jangan dihentikan amalan ini. Ini juga amalan Nabi kita, kenapa tidak kita amalkan. Sama ada anak anda sihat atau sakit, itu bukan persoalan. Yang penting, anak anda mengerti betapa ibubapa sayangkan mereka.

Wednesday, January 20, 2010

Tabung Sedekah!

Assalamualaikum semua...
hari ni, izinkan aku berbicara tentang salah satu cara mendidik anak-anak dan ahli keluarga kita bersedekah. bersedekah satu amalan yang sangat mulia. jadi, marilah kita sama-sama bersedekah supaya kita akan semua akan dapat menfaatnya di kemudian hari.

begini, satu hari tu, abang mendengar satu kuliah di surau, dan di dalam kuliah tersebut ada disarankan oleh ustaz supaya setiap rumah menyediakan satu tabung khas untuk ahli keluarga bersedekah. bila tabung tu dah penuh, bolehlah disedekahkan ke masjid atau surau atau tempat2 yang kita rasa wajar.

ekoran dari itu, abang telah sediakan satu tabung khas kat rumah aku supaya aku dan ahli keluargaku boleh bersedekah. kita niatkan sedekah lillahi taala. ajak anak2 sekali. setiap hari, lepas solat subuh, masukkan duit seberapa banyak yang kita nak... seringgit ke, seposen ke, lima posen ke...tak kisah la, yang penting masukkan! iwan dan amniy, aku bagi sorang lima posen, pastu suruh dorang masukkan dalam tabung tu. tabung tu aku letakkan atas peti sejuk supaya mudah nampak dan tak lupa untuk bersedekah.

aku cuba nak amalkan amalan mulia ini. nanti, bila tabung tu dah penuh, niatnya nak hantar kat surau taman perumahan tempat tinggal aku. tak pun nak sedekahkan kat masjid.....eeemmmm, mudah2an, amalan mulia ni tak hangat2 tahik ayam. hehe... semoga Allah kuatkan hati kami untuk terus bersedekah.




inilah tabung yang aku sediakan untuk keluargaku bersedekah.
tabung biasa jer...tak la cantik mana. yg pentingkan niat.hehe