Showing posts with label Loan. Show all posts
Showing posts with label Loan. Show all posts

Thursday, July 15, 2010

Inilah penyelesaiannya

Alhamdulillah, sangat gembira, dapat meng`update` blog ini. Sangat rindu nak berceloteh dalam blog ini. Rindu yang teramat.... 2 hari blog saya mcm ada virus. Tapi, bila tanya kawan2, dorang masuk blog saya ok je. Tuan punya blog yang tak ok. Sampai pening kepala di buatnya nak meng`adjust` sana sini. Bantuan kak Sue Aleen sedikit sebanyak membantu. Dan akhirnya, bantuan suami juga diperlukan. Suami tersayang telah menyelesaikannya juga. Kesian agaknya dia, tengok isteri dia ni tak boleh nak pisah dgn blog dah...hehe. Tq, dear!

Ok, today, nak cerita sikit pasal masalah saya yang pernah saya beritahu dulu. Ingat tak, saya pernah beritahu tentang surat mahkamah, dan sedikit usaha dan ikhtiar saya untuk menyelesaikan perkara tersebut dan mengelakkan saya hadirkan diri ke mahkamah? Setiap waktu solat saya berdoa, mohon Allah tunjukkan jalan penyelesaian paling mudah. Tak putus doa saya. Begitu juga suami saya, berdoa dan terus berdoa. Masa tu, saya sudah mengalirkan airmata kerana takut dengan tindakan mahkamah. Saya punya alasan tersendiri kenapa keadaan ini berlaku. Suami menguatkan jiwa dan hati saya.

Dalam minggu ini, saya ada membuat panggilan telefon ke pihak berkenaan. Sepatutnya, 12 Julai (Isnin) lepas saya perlu menghadirkan diri ke mahkamah untuk dibicarakan. Tapi, setelah menelefon pihak berkenaan, mereka kata, kes saya telah di`KIV`kan oleh pihak mahkamah. Alhamdulillah. Dan petang esoknya, saya menerima surat dari pihak berkenaan mengatakan permohonan saya telah diluluskan dan mereka telah membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran saya. Bersyukur tak terkira...Sujud syukur saya petang itu! Allah makbulkan doa kami. Betapa Allah sayangkan kita, memberi jalan penyelesaian paling mudah dan tak kita sangka2kan. 


Esoknya, berbekalkan sedikit simpanan yang saya ada (memang dah lama simpan untuk membayar loan, tapi tak de la byk mana pun. boleh la cover untuk 10 bulan pertama ni), saya meminta suami membayarkannya di pejabat pos. Sangat lega kerana masalah ini akhirnya selesai sebegitu mudah, dan mereka menerima alasan saya. Yang membuatkan saya risau, penjamin saya juga terlibat dengan masalah ini. Sebolehnya, saya tak mahu melibatkan mereka. Biar saya selesaikan masalah ini dengan bantuan suami. Alhamdulillah...semuanya selesai sekarang.  Semoga Allah luaskan rezeki keluarga saya  untuk melunaskan semua pinjaman pelajaran saya ini, begitu juga suami.

Terima kasih untuk Kak Helwa, atas bantuannya....semoga Allah membalas dengan balasan yang lebih baik. Terima kasih suami tercinta, sanggup bersusah senang bersama2, terima kasih paman Majid saya kerana memahami keadaan saya.

Sunday, June 27, 2010

Ikhtiar Saya dan Kisah Sofie

Ikhtiar Saya

Rasa banyak yang saya nak ceritakan dalam entry kali ni. Nak cerita tentang usaha dan ikhtiar saya berkaitan dengan surat mahkamah semalam, nak cerita tentang perangai anak dara saya juga. Atau patut ke saya ceritakan dua-dua sekali dalam satu entry? Ok jugak tu....

Cerita pertama saya, berkaitan usaha yang saya ambil terhadap surat mahkamah yang saya ceritakan tempuh hari. Setelah saya menelefon kawan saya yang bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Biasiswa dan Pinjaman, atas pertolongan suami, saya telah membuat surat rayuan penangguhan saman dan bayaran ke atas saya. Dan saya emailkan surat tersebut kepada pihak berkenaan. Email lebih mudah, cepat dan confirm sampai. Tak perlukan khidmat posmen untuk menghantarnya. Dibawah, saya copy paste sebahagian dari isi kandungan surat:

3. Justeru, di sini saya ingin membuat rayuan penangguhan terhadap tempoh saman yang telah ditetapkan. Di sini juga saya mengemukakan beberapa alasan terhadap rayuan saya :

i) Saya telah mengutamakan tuntutan daripada pihak PTPTN terhadap wang pendahuluan yang diterima seawal memulakan pengajian berjumlah RM1500, sebelum menerima tawaran dari Kerajaan Negeri Selangor. Saya tidak menyedari bahawa hanya yuran semester pertama sahaja yang ditolak, dan bukannya termasuk pendahuluan di atas. Pihak PTPTN telah mengenakan caj tinggi hingga menaikkan jumlah lebih RM200 daripada asalnya dalam tempoh singkat.

ii) Saya masih tidak mempunyai pekerjaan setelah cuba mencari peluang yang sesuai. 2 tahun setelah menamatkan pengajian, hanya sedikit pembayaran dapat dibuat dan pembayaran terhenti selepas itu. Tanpa saya sedari, mungkin hikmah saya tidak mendapat pekerjaan yang dicari adalah atas sebab di bawah.

iii) Pada 2007, lahir anak perempuan saya dan dia disahkan mengalami Sindrom Down beserta masalah jantung berlubang jenis AVSD with Pulmonary Hypertension. Anak saya masih menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara. Tumpuan penuh terpaksa diberikan kepada anak sepanjang mula kelahirannya di atas nasihat doktor pakar daripada Hospital Sg. Buloh.

iv) Semenjak 2007, saya kerap menemani anak di wad hospital pada tempoh panjang kerana sering sakit. ( minima 4 hari dan maksima 14 hari bagi setiap kali kemasukan ). Justeru saya mengambil keputusan untuk menjaganya sepenuh masa sehingga dipastikan kesihatannya mengizinkan saya bekerja. Sehingga kini rawatan susulan di Hospital Sg. Buloh juga masih berterusan.

v) Usaha untuk mencari pendapatan sendiri telah dilakukan tetapi dengan berlakunya hal yang tidak dapat dielakkan, pulangan tidak dapat membantu saya membayar balik pinjaman. Justeru, kesemua tanggungan terutamanya untuk anak istimewa saya ditanggung oleh suami berseorangan.

4. Saya juga memohon maaf kerana tidak bertindak memberi respon kepada peringatan pihak tuan/puan. Kecuaian tersebut diakui dan saya bertanggungjawab di atas perkara tersebut. Sememangnya beberapa masalah dalaman telah saya alami, dan itu tidak menjadi sebab menghalang pihak tuan menjalankan tanggungjawab terhadap saya.

5. Saya berharap pihak tuan dapat menimbangkan permohonan saya, dan saya turut mengharapkan jawapan positif daripada pihak tuan. Bagi pihak saya, ini sahaja yang mampu dilakukan setakat ini.

Saya sangat berharap semoga ada respon positif dari pihak berkenaan.....

**********************************************************************************
Kisah Sofie

Ok, cerita kedua saya... kisah Sofie yang sangat lucu dan semakin bijak. Oh... dialah penawar kala saya duka. Dia penghibur hati saya. Tiap aksi dan perbuatan dia membuatkan saya tersenyum bangga. Kala hati sedang resah, bila melihat Sofie buat itu ini, saya seolah lupa akan masalah lain.

Ini kisah sewaktu saya ingin menunaikan solat Isyak tadi.... biasanya saya memang akan menyediakan Sofie satu sejadah khas... sejadah kecil itu khas buat Sofie. Sofie suka mengikut perilaku orang, disebabkan sering melihat abi dan umi bersolat, Sofie sekarang sangat cerdik meniru aksi abi dan uminya. Memandangkan Sofie belum pandai berjalan, lihatlah gaya Sofie sujud bagaimana..... sangat2 lucu.

Mula2 elok je bersujud di sejadah yang di sediakan.

Sangat tak puas hati, berpindah sujud ke sejadah umi pulak. Bertuah anak gadis saya ni. Mujur saya belum solat.

Akhirnya, semua sejadah dah renyuk. Kononnya nak lipat setelah selesai solat. Padahal masa tu saya baru nak solat.

Lucu,kan? Oh Sofie...begitu la dia selalu. Andai terlihat saya hamparkan sejadah untuk bersolat, cepat-cepat dia datang ke arah saya untuk 'berjemaah' bersama saya. Mujur saya ada sediakan dia sejadah. Tapi... tu la.... kadang2 masa saya sedang bersolat, tiba2 dia akan beralih ke sejadah saya pula. Adakalanya, kalau keadaan sangat teruk, saya terpaksa berhenti solat untuk mengalihkan Sofie jauh sikit dari saya. Sofie, Sofie....

Harapan dan cita2 saya, saya akan menyediakan satu telekung comel buat anak gadis saya apabila dia besar sikit nanti. Bila dia sudah mampu berjalan, pasti saya akan sediakan untuk dia. Semoga dia membesar sebagai anak solehah yang comel....hehe...

Sebenarnya ada lagi hal berkaitan Sofie yang melucukan....tapi, nantila...saya akan ceritakan di lain entry.

Friday, June 25, 2010

Surat dari mahkamah untuk Fiza

Baru ada kekuatan untuk mengemaskini blog ini. Saya sangat susah hati.... sangat2 risau, sangat sedih....tak tahu nak terangkan macam mana perasaan ini. Saya tak sangka sampai begini jadinya. Semuanya atas kelalaian dan kecuaian saya. Bukan saya sengaja menangguhkannya, tapi saya terpaksa demi anak-anak, terutamanya Sofie.

Semalam, saya dapat surat dari mahkamah, memerintahkan supaya saya hadir ke mahkamah untuk dibicarakan atas kegagalan saya membayar pinjaman pelajaran saya. Bila saya baca surat tu, hati saya sangat kecut. Sudah 10 tahun saya membuat pinjaman tersebut, tapi saya masih gagal untuk melunaskannya. Kenapa? Semua sedia maklum keadaan saya. Saya seolah-olah menjadi manusia yang gagal. Bila fikirkan hal ini, air mata asyik nak turun.

Penjamin saya ialah pakcik saya. Kesian dia. Mesti dia terkejut. Tapi, suami saya sudah pun menelefon dia, beritahu yang kami akan uruskan sendiri. Dia tak perlu khuatir. Saya cuba mencari jalan paling mudah dan tak memerlukan saya untuk naik turun mahkamah. Tidak saya jangkakan keadaan ini berlaku. Selama ini hanya mendengar orang itu, orang ini dapat surat mahkamah dari pelbagai kes. Akhirnya, terjadi pada saya.

Mencari dan terus mencari jalan penyelesaian...akhirnya saya dapat tahu seorang sahabat lama saya bekerja di Bahagian Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri. Atas bantuan suami, saya berjaya peroleh nombor telefon pejabat sahabat saya itu. Sebelum itu, saya telah menghantar mesej yang agak panjang lebar melalui facebooknya. Dan pagi ini, saya cuba menelefon pejabatnya, ternyata dia masih kenal saya dan telah pun membaca mesej saya itu. Alhamdulillah....usaha saya tak sia2. Agak gementar juga pada mulanya, maklum saja...kita perlukan bantuannya. Dia berikan pandangan berkaitan status pinjaman saya, dan dia berikan jalan penyelesaian terbaik.

Dia sahabat semasa saya bersekolah dulu, dan pernah satu bilik dengannya di asrama. Terima kasih tak terhingga buat Kak Ewa. Fiza sangat hargai jasa akak....dan tak sangka akak masih ingat pada Fiza.

Surat dari mahkamah....muka pertama

Siapa plaintif, dan siapa defenden... aduh! sungguh saya tak faham bahasa undang-undang.

Kenapa saya terpaksa menangguhkannya?
1. Saya tak bekerja, dan tak ada pendapatan untuk membayarnya. Saya dapat bayar 2 tahun je, sebab masa tu, saya ambil upah menjadi pengasuh anak orang. Anak masa tu pun baru sorang, jadi saya masih mampu menjaga anak orang.

2. Selepas kelahiran Sofie, baru saya mengerti hikmah di sebalik saya tidak dapat pekerjaan. Allah menguji saya dan keluarga dengan anugerah yang tak ternilai ini. Allah bagi kami anak istimewa, sering keluar masuk wad pada awal kelahirannya sehingga saya mengandung lagi adik kepada Sofie. Sangat mencabar hidup saya... tapi saya redha dan bersyukur atas kurniaan Allah. Dan akhirnya saya ambil keputusan untuk tidak berfikir soal kerja lagi kerana kerja menjaga anak2 lebih utama. Walau tidak dapat duit, saya yakin, ada 'gaji' yang lebih bernilai dari Yang Maha Kaya.

3. Suami telah berkongsi satu perniagaan dengan tujuan, hasil dari perniagaan itu dapat membayar pinjaman saya. Tapi perniagaan itu nampaknya agak suram dan suami seolah2 telah 'ditipu' ( 'ditipu'kah? oh...tak tahu nak guna word apa lagi ) oleh sahabat sendiri. Suami telah memberi modal yang agak besar untuk perniagaan itu. Hasilnya.... wallahua`lam. Hanya beberapa kali sahaja kami dapat hasil. Lepas dari tu....senyap sepi tanpa berita. Semoga si dia sentiasa dalam rahmat Allah dan dapat memberikan hasil dari perniagaan itu kepada suami saya.

Semoga Allah bagi jalan penyelesaian terbaik untuk masalah ini, dan semoga Allah permudahkan semua urusan saya....Amin!