Saturday, January 14, 2012

Catat Hamil 2 : Jumpa Doktor dan Ujian MGTT

Assalamualaikum....
Minggu ni, minggu yang sibuk... sibuk sungguh! Nak kejar appointment Sofie dan Hijaz di KK, nak kejar juga appointment Sofie di HSB, mana lagi nak uli roti. Akhirnya, minggu ni, tepung tidak diuli setiap hari kerana kesuntukan masa. Si ummi juga ada appointment dengan KK untuk bertemu dengan doktor. Sebelum tiba waktu untuk pergi ke KK, nurse datang rumah melawat. Aduhai.... sepatutnya, saya kena tunjukkan diri ke KK pada hari Isnin. Sekali hari Isnin tu suami pulak ada hal, tangguhkan untuk datang hari Rabu. Niat di hati nak datang waktu petang, sekali waktu pagi dah ada orang bagi salam untuk melawat. Ini kes lewat datang klinik la ni. Cepat2 saya bagi tahu nurse, petang nanti saya datang klinik, tunggu suami balik dari sekolah. Hehehehe.... saje je tak mahu bagi dorang masuk rumah. Faham2 je la rumah orang beranak kecil ni.....

Petang Rabu itu, saya ke KK bersama encik suami. Suami kena ada, sebab kena jaga Sofie dan Hijaz. Kalau tak, huru hara saya jadinya. Nak timbang la, nak check BP la, nak buat ujian air kencing la, nak check darah lagi, kang belum lagi nak tayang perut kat nurse. Kalau budak berdua tu ikut mau menyusahkan nurse2 kat sini. Saya, macam biasa...... tetap happy. Saya nak baby saya happy.:-) Tak mo stress2 datang klinik. Di ibaratkan klinik tu tempat paling best akan saya pergi setiap bulan. Hahahahah.....

Bila tiba turn saya jumpa nurse, nurse kata semuanya ok, tapi..... apesal berat badan saya turun? Aduhai! Rasa dah makan banyak juga, tapi, kali ni berat badan turun pulak. Kenapa ye? Alasan saya, mungkin agak letih sikit, maklum la, anak2 dah sekolah. Kerja banyak.... Tapi, jangan la risau, saya makan kerap, cuma kuantiti makanan yang saya ambil tu, memang saya mengaku, tak banyak.......  Lagipun, si budak Hijaz tu, masih tak mahu berhenti menyusu badan. 

Kalsium dalam badan saya agak rendah juga! Owh, mana lagi nak tampung kalsium untuk diri sendiri, kalsium untuk baby dalam kandungan juga kalsium yang dicuri oleh Hijaz. Eh, betul ke tu.... hehehhe... sesuka hati buat statement. Saya perlu ambil makanan sumber kalsium yang tinggi, juga zat besi. Jangan lupa. Kena makan kerang, hati ayam.... alahai, nak keluar balik rasanya.

Huwaaa.... tak tahan, dapat ubat lagi!

Ok, lepas jumpa nurse, saya kena jumpa doktor. Doktor nak scan. Sekali jumpa doktor, doktor yang biasa saya jumpa masa kehamilan saya yang lepas2. Eh, sekali tengok, doktor ni pun sedang hamil la.... Hehehehe.... bukan apa, masa saya hamilkan Hijaz, doktor ni juga sedang hamil. Dia bersalin 2 bulan lebih awal dari saya. Sekali jumpa lagi dengan doktor comel ni, dia tengah hamil lagi. Nampak gaya usia kandungan doktor ni lebih kurang 6 bulan. Seronoknya tengok.....

Doktor scan macam biasa. Nampak dah baby saya. Baru berusia 10 minggu. Alhamdulillah, setakat ni, tiada apa2 masalah. Cumanya, saya kena minum air gula (ujian MGTT). Sekali lagi? Owh tidak! So, doktor minta saya datang hari Jumaat pagi. Hai.... terpaksa la encik suami cuti. Kalau tak macam mana la saya ni, sapa nak jaga anak2 kecil berdua tu.... sapa nak jaga rumah bila si Ikhwan balik dari sekolah agama. Tau2 je la, ujian MGTT ni ambil masa setengah hari juga.

So, hari Jumaat semalam, saya buat ujian MGTT. Sebelum tu, jam 10 malam Jumaat tu, dah kena mula puasa. Puasa la saya ni dengan niat nak buat ujian MGTT. Pagi Jumaat tu, datang KK jam 8.20 baru sampai. Maklum la, selesaikan anak2 sekolah dulu, kejutkan si kecik berdua tu pulak, kang nak siapkan dorang lagi. Mana tak lambatnya. Orang lain dah minum jam 8 am, saya pula terlewat 20 minit. Tak kisah la.....

Masuk je klinik, tengok orang tak berapa ramai. Eh, tapi agak ramai jugak la, ada la dalam 10-12 orang. Rupa2nya, lepas saya datang ada lagi 5, 6 orang datang. Maknanya, bukan saya je la yang lambat. Lepas masuk satu bilik untuk cucuk jari saya ambil darah, nurse bagi air glukose. Mak eh, banyak amat! Korang pernah dapat tak percuma gelas tinggi masa beli Sunquick oren tu. Haaaa.... banyak tu la air glukose yang saya kena telan. Masa nurse bawa gelas tu, saya nampak warnanya putih. Sangkaan saya, mesti perisa laici. Sedap la ni. Sekali minum, mak eh, perisa asli..... Rasa nak keluar balik pun ada. Aduhai, kenapa la trip la ni saya dapat perisa asli. Teringat minum air glukose masa mengandungkan Hijaz dulu, dapat perisa oren. Tak de la menderita sangat kita nak telan. Sekali dapat perisa asli ni, telan jugak la....... 

Paling kesian, ada yang tak tahan, minum satu gelas, terus pergi bilik air, muntah! Kan kena minum semula, alahai......... Saya pun ada gak rasa nak muntah. Tapi, tahan2. Bangun, ambil nafas panjang2.... Alhamdulillah, kekal air glukose tu dalam badan saya. Tak sanggup eh, nak minum kali kedua.

2 jam menunggu dengan boringnya. Sambil sembang2 dengan ibu2 hamil yang lain, sambil layan tengok Nasi Lemak Kopi O di TV9... mujur la di pasangnya TV tu, kalau tak mau mati kutu dibuatnya. Mengantuk pun ada. Lepas 2 jam berlalu, lebih kurang jam 10.30 pagi, nama saya dipanggil untuk check darah sekali lagi. Alhamdulillah, normal. 4.4! Tak yah ulang nak minum air glukose ni untuk waktu terdekat. Owh, tak boleh bergembira dulu.... bila usia kandungan sudah 28 minggu, kena minum lagi ye. Eh, ye ke? Ye la... ye la....mmmm, nak buat cam mana. Orang berisiko dapat kencing manis, ikut je la. Semuanya demi kebaikan diri sendiri jugak, kan.

Ok, sekian laporan kehamilan untuk minggu ke-10 ni. :-)

Monday, January 02, 2012

Catat Hamil 1 : Pertama kali berbalah dengan NURSE!

Assalamualaikum....
Selamat tahun baru 2012. Saya mulakan tahun baru ini dengan update terbaru saya, pengalaman saya mempertahankan diri saya ketika saya mahu membuka buka merah di Klinik Kesihatan BA.
............................................................................................................................................................................................................................................................................
Pagi itu saya ke Klinik Kesihatan BA dengan rasa gembira untuk membuka buku merah bagi kandungan saya yang baru ini. Alhamdulillah, kandungan saya  sudah masuk 8 minggu, dan saya berusaha menjaganya dari awal. Ooopppsss.... ini kandungan saya yang ke-5. :-)

Apabila saya melangkahkan kaki ke dalam Klinik Ibu dan Anak, masing2 bertanyakan hal Sofie. Oh, bangga sekali kerana mereka masih mengenali dan mengingati saya sebagai ibu kepada Sofie. Saya menerima layanan yang baik dari staff-staff nurse di situ. Mereka menegur dan melayan saya dengan baik kerana kebanyakan dari mereka mengecam dan mengenali saya.

Apabila tiba nombor giliran saya, saya diperiksa sebagaimana rutin, menimbang berat badan, (hoho... berat badan saya naik mendadak! :-)) memeriksa tekanan darah, mengisi borang, mengambil darah dan memeriksa air kencing. Semuanya berjalan lancar dan baik. Perasaan saya waktu itu, sangat2 gembira dan teruja. Kebetulan, saya datang pada waktu pagi dan terdapa ramai ibu-ibu hamil yang lain ingin mendapatkan perkhidmatan di situ. Ramai juga bayi dan kanak-kanak. Setelah selesai semua urusan di luar bilik, saya diminta menunggu lagi untuk dipanggil oleh staff lain. Untuk pemeriksaan perut pula.

Saya masih sabar menunggu... tungguuu... dan terus menunggu sehingga nombor giliran saya tertera. Akhirnya, tiba giliran saya untuk bertemu dengan salah seorang staff nurse. Kebetulan, dalam masa yang saya bertemu pula dengan seorang staff nurse yang lain. Saya gelarkan sebagai Rona (bukan nama sebenar). Rona menegur saya.

"Eh, dia buat buku merah la..... Lama tak nampak, hari ni nampak dia datang buat buku." Ramah sekali. Saya tersenyum manis. Sementara saya mengambil tempat di kerusi, Rona mendekati saya.

"Yang bongsu umur berapa ye? Mana dia? Tak ikut?"
"Dah 2 tahun 2 bulan. Ada kat rumah, tidur lagi tadi."
"Oh, dah besar. Dah layak dapat adik. Heheheh. Eh, anak keberapa ye ni?" Soal Rona.
"Anak ke-5, insya Allah."
"Alhamdulillah, tahniah ye. Dah nak masuk 2 orang adik Sofie yer... heheh." Saya tersenyum sambil mengucapkan terima kasih padanya. Rona berlalu pergi untuk meneruskan tugasnya.

Nurse yang memeriksa saya, saya gelarkan sebagai Jue (bukan nama sebenar). Saya belum pernah melihat Nurse Jue sebelum ini. Mungkin baru dipindahkan ke sini. Nurse Jue meminta saya berbaring atas katil. Saya hanya menurut arahan. Tiba-tiba nurse Jue bersuara.

" Akak nak cakap sikit dengan awak." Saya diam je. Dia menyambung. "Umur awak baru 30 tahun, anak awak dah nak masuk 5. Awak patut ada target berapa orang anak awak nak. 7,8,9,10...." Wah.... bisanya pada saya. Seperti memerli saya. Dia menyambung lagi.....

"Awak patut fikirkan tentang diri awak. Sekarang, iye, awak mampu jaga anak-anak, suami dan keluarga awak. Cuba satu hari nanti awak sakit. Awak demam sehari je..... kan susah awak nak jaga keluarga. Ramai pulak tu anak awak. Awak pulak ada sejarah operation. Boleh jejas kesihatan awak kalau awak asyik mengandung. Awak patut merancang." 

Allahuakbar!!!!!!! Saya mula naik berang, tapi masih bersabar. Saya merasakan air muka saya sedah berubah menjadi monster yang tahan sabar untuk menerkam mangsanya. Saya nampak riak wajah nurse ini tidak setuju dengan kehamilan saya yang baru ini.

Saya mula bersuara sambil menahan getaran....


"Kak, akak jangan fikir saya tak merancang. Saya merancang kak. Tapi sehebat mana perancangan kita. Ini semua bukan kerja saya yang boleh nak kawal2 ada anak atau tidak....." dan saya mula memberitahunya perancangan apa yang saya guna. Saya jelaskan padanya, bukan saya sahaja yang mengambil peranan untuk merancang, tapi suami. Tak perlu saya jelaskan disini.... Agak panjang lebar.... Tapi, nurse Jue cuba memotong.

"Dalam keadaan awak macam ni, ada anak yang ramai, akak tak yakin awak boleh ambil pil. Awak akan lupa. Sarung pun belum terjamin. Kenapa awak tak ambil injection je.?"

Saya bersuara kembali....

"Adakah injection boleh terjamin 100%? Kak, kalau Allah nak bagi kita anak, apa pun jenis perancangan kita, Dia tetap akan bagi. Bagi saya, sehebat mana perancangan manusia, tetap tak boleh lawan takdir Allah." Dia agak diam.....

Dan tiba-tiba dia membuka cerita tentang seorang pesakitnya yang mempunyai sepasang anak kembar. Setelah 16 tahun berlalu, pesakit itu disahkan mengandung. Katanya, dia mementingkan kualiti anak, bukan kuantiti anak. Susah katanya, punya anak yang ramai dalam zaman sekarang.... Saya hanya mendengar dengan keluhan kecil!

Nurse Jue cuba menyatakan pada saya kualiti anak lebih peting dari kuantiti. Saya bersuara mempertahankan pendapat saya.

"Akak, akak jangan fikir, mentang-mentang saya ada anak yang ramai, saya tak boleh menghasilkan anak yang berkualiti. Berapa ramai orang di luar sana ada anak ramai dan anak2 mereka berjaya. Saya dari keturunan baka yang ramai anak, ibu saya sendiri ada 10 orang anak, arwah nenek saya juga ada 12 orang anak. Akak ni seolah2 nak menghina saya pula ye."

Saya agak berang sebenarnya. Air mata saya hampir jatuh ketika mempertahankan pendapat saya. Saya cuba mengawalnya. Nurse Jue tak mahu kalah, dia tetap bersuara,

"Akak tak bermaksud menghina pun. Tugas akak memberitahu tentang kesihatan diri awak. Awak tak boleh terus beranak tanpa memikirkan kesihatan diri. Awak kena merancang. Akak cadangkan lepas ni, awak ambil injection. akak tengok sejarah awak, awak mengandung bila umur anak belum cukup 2 tahun. Ini boleh jejas kesihatan awak."

Saya membidas,

"Kak, sekali lagi saya jelaskan, kerja bagi kita anak bukan kerja kita. Itu semua urusan Allah. Saya berusaha merancang, tapi Allah nak bagi saya rezeki anak. Saya kena tolak ke? Berdosa kak kita mempertikaikan apa yang Allah dah beri pada kita. Saya tak mahu menjadi hamba Allah yang kufur nikmat, kak."

Saya mula memperlahan suara.... memohon agar Nurse Jue memahami erti syukur. Bukan niat saya mahu mengajar nurse yang agak senior ini. Cuma mahu mengingatkan dia kita hanya hamba Allah. Saya terus menyambung....

"Saya mohon kak, janganlah akak ungkit lagi kehamilan saya yang lepas2. Semua anak  saya sihat dan baik walaupun Allah beri saya anugerah anak istimewa. Percayalah kak, semua ini ada hikmah. Allah je yang tahu. Dia beri keluarga saya anak istimewa, saya percaya Allah sayang kami. Dia nak bagi kami pahala lebih, insya Allah. Apa yang penting sekarang, saya mahu meneruskan kandungan saya kali ini dengan baik. Sehingga selepas saya bersalin nanti baru saya fikirkan apa lagi kaedah perancangan keluarga yang terbaik untuk diri saya. Saya tak mahu dengar apa2 lagi pertikaian dari akak. Terima kasih atas perhatian akak pada kesihatan saya." Panjang lebar saya bercakap.... memohon kefahaman dari nurse ini. Tetapi, saya nampak seolah-olah dia tidak mahu mengalah.

"Akak dah nampak sekarang awak sangat stress." Nurse Jue meneka reaksi saya.....

"Kak, mohon maaf kalau saya berkasar dengan akak. Pagi ni, saya datang ke klinik dengan gembira sekali. Nak buat buku merah bagi kandungan saya ini. Malam tadi lagi, saya sangat teruja untuk ke mari. Sungguh, saya tak sabar menanti pagi ini. Tiba-tiba saya berjumpa akak, akak mempertikaikan tentang kandungan saya ni. Mempertikaikan kemampuan diri saya. Hina ke kak orang yang mengandungkan anak ke-5 ini? Mana saya tak stress dengan semua kenyataan akak. Saya hanya manusia biasa. Lemah, dan kekuatan itu datang bila saya ingat pada-Nya. Pasal kesihatan diri saya, usahlah akak bimbang. Saya ada suami yang baik dan sangat bertanggungjawab. Dia yang akan menjaga saya dan keluarga. Dia sediakan semuanya untuk saya dan anak2, Alhamdulillah. Bukan saya tak pernah sakit. Saya pernah demam, saya punya suami yang mengambil semua tugas saya tika saya sakit. Benda tu tak menjadi masalah besar pada saya. Sekarang saya tak mahu dengar lagi pertikaian tentang kandungan saya yang ini. STOP!" 

Agak tegas saya bercakap ketika itu.

"Ok, akak faham."

Nurse Jue menjalankan tugasnya. Hati saya sangat2 sakit ketika itu. Sungguh, saya hampir2 menangis, tapi saya cuba menahan air mata dari jatuh ke pipi. Saya tak mahu dilihat sebagai insan yang cengeng. Saya memujuk hati supaya kuat. Ini baru dugaan yang kecil. Jangan mengalirkan air mata dengan dugaan sekecil ini. Saya tak mahu Nurse Jue nampak kelemahan saya.

Sebenarnya, bukan saya tak mahu mengalah. Boleh je kalau saya hanya mendiamkan diri. Tapi, ini bukan kali pertama. Setiap kali saya mengandung, mesti ada kata tidak puas hati keluar dari mulut nurse. Kali ini, saya tak boleh berdiam diri. Saya kena bertegas mempertahankan diri saya. Saya tak mahu mereka memandang kecil dengan wanita beranak ramai ini. Nasihat mereka, saya terima dengan hati terbuka. Kan ada cara nasihat yang lebih lemah lembut dan berhemah. Saya faham, mengandung dan beranak ramai boleh jejaskan kesihatan kita. Insya Allah, Allah beri kita sesuatu tu ikut kemampuan kita.

Sekian untuk kali ini.... pengalaman berbalah dengan nurse, satu pengalaman yang tidak boleh saya lupakan. :-)