"Berkata benar, sifat yang mulia,
Itulah jua, akhlak Rasul kita,
Allah menyayangi, semua orang suka,
Diri terpuji, maruah terpelihara."
Bila saya teringat akan nasyid ini, saya pasti terkenangkan kisah anak saya. Saya akui, betapa saya kurang berjaya mendidik anak. Kurang berjaya, atau masih belum berjaya...saya tak pasti. Yang pasti, saya perlukan lebih lagi ilmu keibubapaan.
Situasinya begini....
Pulang dari sekolah, Ikhwan beritahu saya yang kawannya beri dia duit sebanyak 50sen. Saya memang tak beri Ikhwan belanja, kerana pelajar pra sudah disediakan makanan oleh pembantu pra. Jadi, bagi saya Ikhwan tak perlukan wang saku. Lagipun Ikhwan belum pandai memilih makanan jenis apa yang patut dia beli, dan tak patut dia beli. Berbualan antara saya, Ikhwan dan abi Ikhwan......
Ikhwan: Umi, kawan Iwan bagi duit kat Iwan. Iwan beli ni (sambil menunjukkan kereta permainan yang kecil pada saya).
Saya: Berapa sen ni? Kenapa Iwan terima? Nanti mak dia marah, macam mana. Takut dia cerita lain dengan mak dia. Nanti dia kata Iwan minta pulak. Esok pulang balik duit tu kat kawan.
Ikhwan: 50 sen. Tak mi, dia yang bagi kat Iwan. Iwan tak mintak pun.....(dan Iwan teruskan bermain...)
Petang tu, abi Ikhwan pulang dari sekolah. Ikhwan cerita pada abinya sebagaimana dia bercerita pada saya tengahari itu.
Abi : Betul ke kawan Iwan bagi duit ni? Sapa nama kawan Iwan tu?
Ikhwan : Faris
Abi : Ok, besok, abi nak jumpa Faris, nak tanya betul ke Faris bagi Iwan duit tu....( saya lihat Ikhwan senyum2 kambing. Muka dah macam orang bersalah)
Saya : Cakap betul2 Iwan. Faris bagi duit tu atau Iwan bawa duit dari rumah? (Ikhwan diam jer...)
Abi : Iwan, Abi dan umi tak tahu cerita sebenar tau. Tapi, Allah tahu. Iwan tak takut dengan Allah ke? (sepantas kilat Ikhwan menjawab...)
Ikhwan : Sebenarnya Iwan bawa duit dari rumah. ( Huh! Anak saya sudah pandai berbohong! Panas hati saya mendengar.)
Abi : Kat sini Iwan dah buat dua kesalahan. Pertama, menipu abi dan umi. Kedua, membabitkan nama kawan Iwan yang tak bersalah. Ini fitnah namanya.
Ikhwan diam je. Saya pun diam, hati saya dah panas. Mujur ada suami, saya biarkan suami handle masalah ini. Kemudian, saya dengar suami beri nasihat buat si anak...
Abi : Macam abi kata tadi, Iwan tipu abi dan umi, Allah tahu tau. Iwan tahu tak menipu tu sifat siapa?
Ikhwan : Sifat syaitan....
Abi : Menipu sifat orang munafik, Iwan. Kalau Iwan nak tahu, dalam Quran Allah dah terangkan orang munafik tu tempat dia di dalam neraka. Orang munafik akan jadi bahan bakar kat neraka nanti. Kalau orang kafir, Allah bakar, tapi orang munafik akan jadi bahan bakar. Iwan nak ke jadi orang munafik.
Ikhwan : Tak nak. Bahan bakar tu macam mana? (sambil menunjukkan rasa bersalah... lepas tu, dia diam je mendengar abinya ceramah)
Abi : Bahan bakar tu... macam kita bakar sate tu la, bahan bakarnya arang. Orang munafik nanti umpama arang la dalam neraka nanti. Satu lagi, tadi Iwan babitkan nama kawan. Itu namanya fitnah. Iwan dah fitnah kawan Iwan yang tak bersalah. Berdosa besar tu. Hukum memfitnah lebih besar dari membunuh tau.
Masa ni, saya nampak Ikhwan semakin rasa bersalah ...... saya harap timbul rasa bersalah dalam diri dia. Saya nampak, cara suami menerangkan pada Ikhwan, mudah dan Ikhwan faham. Sebenarnya, banyak lagi yang suami ceritakan dengan Ikhwan. Saya cuma nyatakan secara ringkas sahaja. Yang penting, intipati yang suami nak sampaikan pada anak sulong saya itu ialah:
- Allah tahu setiap apa yang kita lakukan
- Menipu sifat orang munafik
- Dosa memfitnah lebih besar dari membunuh
Saya sangat susah hati bila anak mula pandai bercakap bohong. Saya seolah2 gagal mendidik anak. Walhal, anak sulong saya itu baru berusia 6 tahun. Saya perlu lebih banyak lagi ilmu mendidik anak. Saya risau, kalau dari kecil dia biasa dengan berbohong, bila sudah semakin besar, dia tak kan merasa berbohong satu dosa. Risau sangat hati saya.
Semoga Ikhwan ambil iktibar dari perbuatan dia ini.