Thursday, April 22, 2010

Memeluk dan mencium anak sebagai terapi

image dari sini

Saya terpanggil untuk mencoret sesuatu berkaitan gambar hiasan di atas, ekoran 2 hari lepas ada perbincangan mengenainya di forum Ratuhati dan facebook. Setelah meminta izin daripada empunya artikel, Norlaili Salleh, saya seronok untuk mengaitkan artikel ini dengan perkembangan kesihatan anak saya, Sofie Mariah. Artikel ini saya copy paste dari nota facebook Ratuhati. Terima kasih kak Laili kerana memberi keizinan.

Dear jelitawans Ratuhati yang dikasihi,

Bila anda berhenti memeluk dan mencium anak anda bermakna anda seorang ibu yang bermasalah. Pelukan dan ciuman terhadap anak adalah sangat penting untuk perkembangan mental dan fizikal anak. Nabi Muhammad s.a.w sendiri sangat suka memeluk dan mencium anak-anak baginda hatta cucu-cucu baginda sendiri iaitu Saidina Hassan Dan Saidina Hussin r.a.

Anak-anak pra matang yang dilahirkan boleh membesar dengan sihat dan kuat bila sentiasa diusap dan diurut perlahan-lahan di dalam inkubator. Anak-anak yang sedang dalam keresahan atau susah nak tidur, kalau diusap-usap, digosok-gosok atau dipeluk-peluk sambil kita membisikkan ayat suci al quran,insyaALLAH akan mudah lena dan jauh dari gangguan iblis syaitan.

Demikian juga anak yang sedang meragam atau mengamuk, kalau kita memeluk dan menciumnya,pelukan dan ciuman itu boleh menenangkan jiwa anak tersebut. Perbuatan ini haruslah dilakukan berterusan sehinggalah anak itu dewasa lebih-lebih lagi di antara anak perempuan dan ibu. Anak lelaki ada batas-batas tertentu yang harus dijaga.

Saya tidak mahu mengupas dengan lebih panjang kerana ingin memberi peluang kepada jelitawans yang bijak laksana memberi pandangan pula. Cuma saya sudahi,kalau anda sudah berhenti memeluk dan mencium anak anda,anda memang seorang ibu yang bermasalah.


teringat bayi² pramatang kat NICU....
ada yang mak pak jarang jenguk, ada yang stay 24 hrs
ada yang kerap melawat walo pun tak stay 24 hrs macam saya ni
saya jenguk Syafiah tiap hari, dari pagi sampai ke malam
malam saya balik pun pukul 10
boleh nampak beza siapa yang kuat fight, siapa yang stay the same
saya sering melawat anak² yang umpama tiada ibu ayah tersebut
sekadar memberi salam dan ucapkan kata semangat
tak berani nak sentuh sebab anak orang

anak² pramatang yang sering diusap dan sering dibawa berborak
lebih pantas perkembangannya... sekali pun dia pernah melalui fasa kritikal

Semasa rakan-rakan berbincang berkaitan isu ini di forum RH dan facebook, hati saya terusik. Saya mula terfikir, adakah pelukan dan ciuman buat si anak merupakan terapi untuk anak cepat sihat? Jawapan saya, YA! Saya sendiri telah mempraktikannya semasa Sofie berada di PICU, IJN.

Aktiviti saya setiap hari, sepanjang 6 hari Sofie berada PICU, tiap kali waktu melawat, saya akan berada di sisi Sofie sambil menyentuh wajah Sofie, mengusap tangan Sofie, mencium dahi dan pipi Sofie. Saya tak pernah jemu. Saya juga cuba memeluk Sofie, walau pelukan tidak erat kerana badan Sofie berselirat dengan wayar. Suami saya selalu marahkan saya, katanya, jangan buat Sofie terjaga. Saya dah tak peduli apa pun, yang penting Sofie dapat rasakan kehadiran saya di sisinya. Sambil saya lakukan itu semua, saya akan mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat Sofie. Saya bacakan selawat ummi di telinga Sofie beserta ayat-ayat suci al-Quran. Saya percaya ini sebagai terapi buat Sofie.

Saya masih ingat kembali, selepas Sofie selesai menjalani pembedahan pada 31 Mac lalu, suami memberitahu saya, supaya saya tidak perlu datang esoknya kerana pembedahan telah selesai. Lagipun, saya mempunyai masalah kenderaan untuk ke IJN ketika itu. Masa tu, air mata saya mengalir laju. Dalam fikiran saya, mana mungkin saya akan membiarkan Sofie begitu, tanpa umisofie melawat, menjenguk, mengusap, memeluk Sofie. Setelah berfikir pelbagai cara, akhirnya Allah beri jalan kepada saya. Terima kasih buat Wak Hussin dan mak Jas saya yang berada di Hulu Langat, atas susah payah mereka menghantar dan menjemput saya setiap hari.

Jadi, peluang yang telah diberikan ini, saya gunakan sebaik mungkin untuk terus bersama Sofie. Sungguhpun waktu itu Sofie masih belum sedarkan diri, saya amat pasti, Sofie tahu umi dan abi datang setiap hari mendoakan kesejahteraan buat Sofie. Sebenarnya, menurut doktor, masalah jantung Sofie agak rumit, dan sudah kritikal. Sofie pula anak down syndrome, jadi harapan Sofie untuk pulih sangat lambat. Dengan antibodi Sofie yang lemah... memang lambat.

Bagi saya, 6 hari Sofie di PICU, suatu yang membanggakan. Lagipun Sofie sering beri kerjasama dengan doktor dan nurse. Ada ibu-ibu yang anak mereka berada di PICU terkejut bila Sofie dah dipindahkan ke wad biasa. Kata mereka, "cepat ye Sofie pindah kat wad biasa." "Cepat sembuh, boleh balik rumah." Saya cuma balas, "Alhamdulillah, kuasa Allah semuanya." Doktor membuat andaian itu dan ini mengikut teori mereka. Tapi semuanya di tangan Allah. Mungkin juga kuasa sentuhan, belaian, pelukan dan ciuman si ibu mampu membuatkan anak yang sakit terus kuat berjuang untuk meneruskan kehidupan.

Jadi, ibu-ibu, bapa-bapa, teruskan memeluk dan mencium anak-anak. Walaupun anak anda sihat, jangan dihentikan amalan ini. Ini juga amalan Nabi kita, kenapa tidak kita amalkan. Sama ada anak anda sihat atau sakit, itu bukan persoalan. Yang penting, anak anda mengerti betapa ibubapa sayangkan mereka.

2 comments:

  1. agree kak, ada kebenarannya dari segi saintifik pun kan dengan pelukkan n sentuhan ni anak2 kecik boleh rasakan kehadiran ibunya..

    ReplyDelete
  2. setuju 100%

    Kak Fiza, Wina baru tukar layout blog..x sangka sama pilihan kite :-)

    ReplyDelete

Terima kasih kerana membaca coretan ini. Komen anda sangat saya harapkan untuk perbaiki segala kesilapan. Komen yang membina yer....