Wednesday, April 14, 2010

Sofie Selepas Pembedahan

Maafla...terlalu lama saya tak update blog ini. Sedia maklum semua akan keadaan saya, kan? Nampaknya blog ini semakin bersawang dan sedikir berhabuk ekoran pemilik blog sangat-sangat sibuk. Hari ini, saya berkesempatan membersihkan segala sawang dan debu...hehehe.

Dan disini, sambungan kronologi kisah Sofie selepas pembedahan....

4 April 2010 (Ahad)
- Kami melawat Sofie di PICU agak lewat sebab kami bertolak dari Rawang. Jam 1 tengahari baru kami sampai. Saya dan suami meluru naik ke PICU setelah mengambil pass pelawat di lobi utama IJN. Sangat-sangat terkejut kerana kami lihat tiub saluran pernafasan Sofie telah ditanggalkan, baru je. Sekarang, keadaan Sofie nampak lebih selesa. Sofie sudah pakai oksigen mask. Alhamdulillah! Satu perkembangan yang membanggakan. Sofie memang anak yang kuat. Umi seronok sangat!

- Masa saya dan suami sampai, Sofie nampak kami. Alahai, anak umi. Nurse kata, kalau boleh jangan bagi Sofie menangis. Mereka sedang berusaha menajar Sofie bernafas sendiri. Selama 5 hari Sofie perlukan alat bantuan pernafasan untuk bernafas. Dan hari ini, Sofie perlu bernafas sendiri. Setakat tengahari itu, Alhamdulillah, SPO2 Sofie 100%. Syukur, semoga petang nanti ada pekembangan yang lebih baik.

- Petang, jam 6, saya dan suami naik lagi. Waktu ini Sofie antara tidur dengan tidak. Sofie masih menggunakan oksigen mask, tapi, kali ini dah diturunkan kepada 5 liter sahaja, berbanding tengahari tadi, 10 liter. Dalam 15 minit di sisi Sofie, saya terpaksa turun semula ke lobi kerana Hijaz meragam. Pakcik saya dari Kuang juga telah datang untuk melihat Sofie. Saya naik semula ke PICU selepas pakcik saya selesai melihat Sofie. Alangkah terkejutnya saya bila saya naik kali ini, oksigen mask yang Sofie pakai sejak tadi telah ditanggalkan. Sofie hanya memakai nasal prong! Oksigen Sofie pun sudah diturunkan kepada 2 liter. Mendadak sungguh! Air mata gembira jatuh melihat perkembangan positif Sofie. Syukur ya Allah! Kau perkenankan doa kami.

- Yang membuatkan saya gembira, semasa saya bercakap dengan nurse, Sofie membuka mata dan memandang ke arah saya. Saya dekatkan diri sengan Sofie, saya pegang tangan Sofie dan usap dahi Sofie. Sofie macam nak tidur, saya cuba tidurkan Sofie. Dalam masa yang sama, tangan Sofie merayap memegang tudung saya, Sofie juga memegang kerongsang yang saya pakai, Sofie pegang pipi saya...alahai, buat saya sungguh terharu. Saya bercakap dengan Sofie, "Sofie, malam ni Sofie tidur sini lagi yer. Kakak nurse jaga Sofie." Sofie diam je, sambil tengok muka saya. Ketika itu, hati bagai dihiris mahu menangis. Saya cuba menahan air mata dari jatuh ke pipi. Minit-minit terakhir waktu melawat hampir tamat, suami naik ke PICU untuk menghantar aero-chamber. Sofie dapat melihat abi dan umi. Akhirnya, Sofie terpaksa kami tinggalkan bersama nurse. Air mata saya....jangan kata la. Sukar untuk di tahan. Tapi, dari jauh, saya nampak, Sofie memandang je langkah kami. Sofie tak menangis langsung.

5 April 2010 (Isnin)
-Kami naik ke PICU jam 12.30 tengahari. Banyak perkembangan positif Sofie. Sofie seronok bila nampak abi dan umi. Dia minta saya dukung, tapi, tak boleh. Saya hanya memujuk dia saja. Kebetulan masa tu ada doktor. Doktor tanya pada saya, Sofie memang tak suka menangis ke? Saya senyum je. Doktor kata, anak ini mudah dijaga. Tak banyak ragam, dan tak menangis bila doktor buat pemeriksaan. Alhamdulillah, Sofie beri kerjasama kepada doktor dan nurse. Nurse yang jaga Sofie pun kata, Sofie jarang menangis. Jaga Sofie sangat mudah. Seronok umi dengar sikap Sofie begitu. Umi tahu, Sofie anak yang tabah. Yang paling best, doktor kata, Sofie boleh naik wad petang itu juga. Alhamdulillah!

- Jam 4 petang, saya dan suami keluar dari IJN, tiba-tiba dapat panggilan dari IJN yang mengatakan Sofie telah dipindahkan ke wad biasa, tapi masih dalam bilik kaca. Alhamdulillah!

- Saya terus naik ke wad Melur. Suami tunggu di bawah bersama Hijaz. Sofie baik sangat. Bila saya datang, Sofie terbaring seorang diri di atas katil sambil hisap jari. Sian, Sofie...ditinggalkan sendirian. Bila nampak saya, sekali lagi Sofie minta didukung. Kesian dia...Saya tak boleh nak dukung Sofie lagi. Saya cuma memeluk Sofie di atas katil. Nampak Sofie seronok dipeluk . Saya memeluk Sofie sambil mengusap kepala dan tangan Sofie. Hilang segala kerinduan yang terpendam selama ini. Sofie semakin pulih! Syukur pada Allah! Yang buat saya bertambah lega dan gembira, malam itu, Sofie tidur bertemankan abi.

6 April 2010 (Selasa)
- Pagi-pagi lagi saya sudah berada di IJN. Pukul 10 pagi saya naik ke wad Melur. Sofie masih lemah. Hanya terbaring. Tapi, hari ni, saya nampak Sofie seolah-olah tak mengenali saya. Dia tengok je muka saya. Tak de respon langsung bila saya buat lawak ke, saya bermain dengan permainan ke....diam je. Hati saya risau. Saya tanya dengan suami, kenapa Sofie macam tu? Suami minta saya beri masa pada Sofie. Kesan ubat bius masa pembedahan hari tu, mungkin menyebabkan Sofie hilang memori. Perlu refresh!

- Tapi, pagi selasa tu, Sofie dah keluar dari bilik kaca. Dan betul-betul masuk wad biasa. Ini menunjukkan perkembangan Sofie sangat positif.

- Petang, saya naik lagi. Alhamdulillah, Sofie dah kenal saya. Nampak Sofie keriangan. Sofie belum boleh duduk lagi. Keadaan Sofie masih lemah. Saya suapkan Sofie bubur nasi. Banyak betul Sofie makan. Nampak sangat berselera. Jam 7 malam, mak Jas saya datang melawat Sofie. Saya nampak mak Jas mengesat air mata. Sayu sangat. Sedih dia melihat Sofie sebegitu rupa. Yang sedihnya, tengok dada Sofie.... doktor dah buka separuh daripada plaster yang dilekatkan pada dada Sofie. Kita boleh nampak kesan bedah didada Sofie. Tak kisahla ada parut pun, yang penting 'major problem' Sofie selesai.

7 April 2010 (Rabu)
- Seperti biasa, pagi-pagi lagi saya dah tercongok di IJN. Saya naik wad untuk melihat Sofie jam 10 pagi. Suami turun menjaga Hijaz di lobi. Masa saya bersama Sofie agak lama. Berbunga hati saya. Saya agak terkejut bila saya sampai ke katil Sofie, nasal prong yang Sofie pakai semalam sudah ditanggalkan. Rupa-rupanya Sofie yang tanggalkan sendiri. Pandai! Sofie rimas dengan nasal prong itu. SPO2 Sofie agak bagus tanpa nasal prong, 95%.

- Pagi ni, Sofie sekali lagi seolah-olah tidak mengenali saya. Hati saya bertambah risau. Kesan ubat bius terlalu kuat. Jadi, Sofie boleh ingat-ingat lupa. Saya tak putus asa. Saya bermain dengan Sofie, saya nyanyikan lagu kegemaran Sofie. Saya peluk Sofie, saya cium dahi Sofie, tapi Sofie tak beri respon langsung. Hati saya mahu menangis. Kenapa Sofie ni? Sofie dah tak kenal umi ke? Ini umi, sayang! Sofie diam je bila saya buat semua tu. Menangis pun tidak, gelak pun tidak. Saya masih tak putus asa. Saya cuba lagi mengembalikan ingatan Sofie. Saya 'onn'kan kamera. Sofie menunjukkan respon positif. Sofie sangat suka dengan kamera. Saya risau kalau Sofie melupakan detik-detik manis bersama saya dan keluarga. Saya mainkan semua video rakaman yang saya rakamkan dulu. Mujur masih belum 'delete'.

- Bila saya mainkan semua video Sofie bersama Hijaz, Ikhwan dan Amniy, Sofie menunjukkan respon yang baik. Sofie cuba memberikan senyuman pada saya. Seronok saya melihat senyuman manja Sofie. Sofie nampak excited dengan setiap video yang saya mainkan itu, lagi-lagi video bersama Hijaz. Mungkin Sofie cuba mengingat kembali saat-saat manis bersama adik kesayangan. Hati saya sangat gembira.

- Petang, saya naik lagi, Sofie lain dari sebelumnya. Dia dah kenal saya sebagai umisofie. Nampak saya berjalan dari pintu wad, Sofie dah menjerit keriangan. Alhamdulillah! Sofie dah kenal siapa saya. Saya melayan Sofie...saya suapkan Sofie makan bubur, saya mandikan Sofie. Sofie seronok sekali. Saya pun gembira yang amat. Tiba-tiba, nurse datang buat pemeriksaan, SPO2 Sofie tak cantik. Cuma 90%. Terpaksa pakaikan Sofie nasal prong semula. Aduhai Sofie....

8 April 2010 (Khamis)
- Seperti biasa, rutin saya setiap hari ke IJN. Hari ini agak awal saya naik ke wad. Jam 9.15 pagi, belum pun waktu melawat. Nasib baik pengawal keselamatan di IJN ni boleh berkompromi. Sofie keriangan melihat saya. Seperti biasa. saya mencium dahi Sofie, Sofie menghulurkan tangan dan mencium tangan saya. Alhamdulillah, Sofie sudah kembali mengingati saya sebagai umisofie. Risau betul saya kalau Sofie lupakan saya lagi. Masa yang ada, seperti biasa saya melayan semua kehendak dan karenah Sofie. Alhamdulillah, setiap hari ada perkembangan positif Sofie. Setiap hari, setiap malam saya tak putus-putus berdoa memohon kesembuhan buat Sofie.

- Begitulah hari-hari berikutnya.... Jumaat, Sabtu dan seterusnya. Sofie bertambah sihat dan ceria. Sofie semakin sembuh. Cuma perlu menjaga luka dalaman dan luaran sahaja.

12 April 2010 (Isnin)
- Hari dimana doktor perlu mencabut tiub yang mengeluarkan air dari paru-paru Sofie. Kebetulan saya berada di wad. Sangat menyayat hati mendengar Sofie menangis kesakitan. Saya kuatkan hati mendengar tangisan Sofie. Selepas selesai semuanya, saya terus ke arah Sofie. Jelas sekali Sofie perlukan saya. Saat saya datang ke katil Sofie, Sofie berhenti menangis. Saya memeluk Sofie dan membiarkan nurse selesaikan tugasnya. Lega hati bila semua wayar dan tiub dah ditanggalkan dari badan Sofie. Sekarang hanya menunggu keputusan doktor sahaja, bila Sofie boleh pulang ke rumah. Keadaan Sofie perlu dipantau 24 jam selepas tiub itu di cabut. Jadi saya amat berharap, esok hari Sofie boleh pulang ke rumah.

13 April 2010 (Selasa)
- Setelah selesai menjalani echo, doktor putuskan Sofie boleh pulang ke rumah. Alhamdulillah...semuanya selesai. Keputusan echo menyebelahi Sofie. Paru-paru Sofie telah kering sepenuhnya, jantung Sofie berfungsi dengan baik dan normal. Cuma, Sofie perlukan ubat untuk tempoh masa tertentu. Tak kisah semua itu, yang penting Sofie sihat dan selamat. Jam 6 petang kami bertolak dari IJN pulang ke rumah.

Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan pada semua yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sofie. Semoga Allah membalas jasa kalian. Pembedahan Sofie ini merupakan satu pembedahan yang besar. Masalah jantung Sofie sudah di tahap yang kritikal. AVSD Complete with Pulmonary Hipertension. Tapi, kuasa Allah mengatasi segalanya. Allah permudahkan semua urusan. Syukur padaMu Ya Allah! Terhapus sudah air mata kesedihan, terbit pula air mata kegembiraan tanda syukur pada Yang Maha Esa.

Di entri akan datang, saya akan kongsi gambar-gambar Sofie selepas pembedahan.

11 comments:

  1. alhamdulillah...moga sofie cepat sembuh & aktif mcm kanak2 lain.

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah syukur tak terhingga..maaf ye fiza..tak sempat nk visit..sy tak berapa sihat & bizi dgn conference..nnti tak elok pulak org tak sihat visit sofie..apa2 pun selamat semuanya....peluk cium utk sofie...muahhhhh...

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah..leganya bila tahu semakin hari semakin positif kesihatan Sofie. Semoga Sofie cepat sembuh dan boleh bermain semula dengan abang2 dan adik hijjaz.

    ReplyDelete
  4. alhamdulilah Sofie dah sehat & pulang ke rumah

    tersentuh hati ni baca luahan Kak Fiza..akak memang tabah & kuat

    ReplyDelete
  5. alhamdullilah
    syukur
    nuyue tumpang gembira

    semoga sofia cepat sembuh yer...

    ReplyDelete
  6. Syukur alhamdulilah..

    memang ternanti-nati berita tentang Sofie..

    setiap kali membaca coretan kak fiza, hati saya tersentuh dan air mata saya pasti menitis...

    Semoga Sofie cepat sembuh yea sayang..

    ReplyDelete
  7. seronok dgr sofie dah balik..
    syukur sofie selamat..
    can't wait to see her pic :)
    tahniah to umisofie utk ketabahan anda :)

    ReplyDelete
  8. alhamdulillah :) semua nya selamat dah kak fiza..cuma nak jaga sofie biar dier betul2 sembuh... sesungguhnya Allah memang berkuasa di atas segala2nye.... x sabar nak dtg melawat kak fizah & family :)

    ReplyDelete
  9. alhamdulillah... sofie dah balik rumah? tak bule byk mcm mana gembiranyerr awak kan? jaga sofie baik2 yer....

    ReplyDelete
  10. alhamdulillah..seronok dengar SOFIE dah balik rumah...;)

    ReplyDelete
  11. alhamdulillah, Fiza dan Sofie telah berjaya mengharungi detik sukar. it's for her own good. maaf juga sebab akak tak berziarah langsung. tau² sajalah jadi ibu ni.

    sayang Sofie...

    ReplyDelete

Terima kasih kerana membaca coretan ini. Komen anda sangat saya harapkan untuk perbaiki segala kesilapan. Komen yang membina yer....