Assalamualaikum, salam ukhuwah penuh kerinduan buat semua sahabat yang menanti cerita dari umisofie. Saya tahu, mungkin ramai yang ingin mengetahui perkembangan Sofie. Maaflah, saya buat semua orang ternanti-nanti. Agak sibuk kebelakangan ini, setiap hari berada di IJN dari pagi hingga ke malam. Nak kemaskini blog ini pun tak sempat, kebetulan internet rumah makcik saya tu, server down. Tu yang saya terpaksa pulang ke rumah sendiri untuk menceritakan kisah Sofie pada semua.
Disini, sedikit kronologi berkaitan Sofie di PICU selama 3 hari......
1 April 2010 (Khamis)
- Pagi selepas menunaikan solat Subuh, kami bergegas bertolak dari Rawang ke IJN. Memandangkan masa itu Sofie berada di PICU, suami boleh pulang ke rumah bersama saya.
- Jam 12.30 tengahari, saya dan suami naik ke PICU untuk melihat Sofie. Waktu ni, Sofie masih belum stabil. Waktu ini juga saya berkesempatan berjumpa dengan Dr. Siva, doktor yang membedah Sofie. Doktor kata, Sofie ok. Pembedahan ke atas Sofie berjaya. Cuma, waktu itu, paru-paru Sofie rosak sedikit. Jadi, Sofie nak pulih memerlukan masa yang agak panjang. Sofie perlukan bantuan mesin untuk mengawal tekanan di paru-paru.
- Jam 6 petang, sekali lagi saya naik ke PICU untuk melihat Sofie, tapi, kali ni peluang saya untuk melihat Sofie agak terbatas, kerana sepupu saya sudah datang menjemput saya. Sebelum turun bawah, saya cium dahi Sofie, saya ramas lembut tangan mungil Sofie sambil berkata,"Sofie sayang. Umi balik dulu. Esok umi datang lagi." Masa tu, rasa tak sanggup meninggalkan Sofie. Hati bagai hilang kawalan saat ingin meninggalkan Sofie. Air mata jatuh, tapi tak seteruk semalam-semalamnya kerana hati semakin kuat dan tabah. Mujurlah suami ada menemani Sofie sehingga jam 8 malam.
2 April 2010 (Jumaat)
- Hari tersebut, rasa banyak sangat cabaran untuk ke IJN, melihat Sofie. Sepupu turunkan saya ke LRT Ampang Park. Tak nak menyusahkan dia, sebab dia sendiri terlambat ke tempat kerja. Memandangkan waktu itu waktu orang pergi kerja, jadi train agak padat dengan manusia. Saya tak mampu untuk ikut serta berhimpit dalam train memandangkan saya mendukung Hijaz yang debab. Sungguh tak larat tangan ini. Tapi, di kuatkan juga.... hampir 10 train berlalu, saya tak dapat naik. Betul-betul macam sardin! Akhirnya, saya call suami suruh dia ambil saya di Ampang Park. Tak sanggup rasanya berhimpit-himpit sebegitu. Kalau saya sendirian, mungkin saya akan berhimpit juga.....
- Jam 12.30 tengahari, saya ambil pass PICU dan terus naik melihat Sofie. Kali ini saya naik bersama suami tersayang. Lagi sekali hati ibu tersentuh melihat Sofie. Sofie comel sangat. Nurse dah bersihkan Sofie. Muka Sofie nampak jernih dan comel. Doktor bertugas datang berjumpa saya dan suami. Katanya, Keadaan Sofie bertambah baik. Mesin gas untuk tekanan paru-paru Sofie pun doktor dah 'off'kan. Syukur sangat, Alhamdulillah. Doktor berusaha pulihkan paru-paru Sofie.
- Semalam, masa doktor jumpa kami, doktor kata masa operasi pembedahan Sofie pun, doktor tengok paru-paru Sofie pun dah makin rosak ekoran tekanan tinggi di paru-paru. Tapi, hari ini sudah semakin pulih. Alhamdulillah!!! Doktor menambah, masalah sekarang ialah nak pam oksigen dalam darah Sofie. Sofie belum mampu bernafas dengan sendiri. masih perlukan alat bantuan pernafasan, cuma unitnya dah dikurangkan. Tak perasan pulak saya berapa unit di kurangkan. Ye la.. Sofie baru je beberapa hari menjalani pembedahan, kita patut bagi peluang pada Sofie. Satu lagi masalah, sel darah putih Sofie agak tinggi. Doktor takut dijangkiti kuman. Jadi, doktor telah bagi antibiotik. Alhamdulillah, setakat 3 hari Sofie di PICU, setiap hari ada saja perkembangan positif walaupun sedikit. Saya sangat gembira dan besyukur sangat. Cuma, saya masih sedih apabila melihat Sofie sebegitu.
- Suami turun jam 1.15 tengahari untuk solat Jumaat. Tinggal saya sendirian di tepi katil Sofie. Saya mengusap lembut kepala Sofie sambil membacakan al-Fatihah, Selawat Ummi, doa Nabi Yunus dan beberapa surah pendek. Saya berdoa buat anak gadis saya nan seorang itu. Saya berdoa memohon Allah kuatkan Sofie untuk Sofie terus berjuang menghadapi semua ini. Jam 1.30 tengahari, waktu melawat telah tamat. Namun, kaki ini berat sangat untuk melangkah meninggalkan Sofie. Saat saya mengusap lembut kepala Sofie, tiba-tiba Sofie mengangkatkan kaki dan menggerakkan tangannya. Sofie buka mata dan memandang ke arah saya. Ya Allah!!!!, ini kali pertama Sofie buka mata. Sofie nampak lemah dan mamai. Dia pejamkan mata semula. Beberapa saat kemudian, Sofie membuka mata lagi, sekali lagi Sofie memandang ke arah saya. Saya nampak air mata Sofie mengalir. Saya usap perlahan. Saya memanggil nurse, sementara nurse ambil ubat tidur, saya bisik ke telinga Sofie, "Sofie sayang, umi datang ni. Umi rindu nak peluk Sofie. Umi harap Sofie lekas sembuh ye, sayang. Maafkan umi, sayang, umi tak dapat nak temankan Sofie disini." Sofie seolah-olah mengerti. Dia pejamkan mata semula. Nurse datang membawa ubat tidur. Saya masih mengusap lembut kepala Sofie. Bila tengok Sofie dah tidur semula, saya cium dahi Sofie, saya cium pipi Sofie, saya pegang dan cium tangan Sofie juga, "umi turun dulu, sayang. Petang nanti umi naik lagi." Dan saya meninggalkan Sofie dengan linangan air mata.
- Saya turun ke bawah, Nurul, adik saya sedang mendukung Hijaz. Kesian, Nurul menjadi mangsa menjaga Hijaz sewaktu saya bersama Sofie di atas. Sementara menanti waktu melawat sessi petang, saya mengisi masa mencatatkan perjalanan hidup Sofie di PICU dalam buku nota kecil saya untuk saya kemaskinikan dalam blog ini.
- Jam 5 petang, jiran sebelah rumah (kak Da dan abang Tajul) saya datang untuk melawat Sofie. Syukur, saya gembira apa bila ada orang sudi datang melawat Sofie. Tepat jam 6 petang, suami membawa abang Tajul naik ke PICU. Jam 6.15 petang pula, saya menemani kak Da naik ke PICU. Saya nampak air mata kak Da bergenang melihat Sofie sebegitu rupa. Agak lama saya dan kak Da berada di sisi Sofie. Saya seumpama doktor pula menerangkan itu dan ini kepada kak Da. Kak Da mengangkat selimut Sofie, saya lihat air mata kak Da mengalir lagi. Kak Da kata, rasa tenang bila dah dapat tengok Sofie. Kat rumah kak Da asyik teringat pada Sofie. Hari tersebut hari Jumaat. Sepatutnya, Abang Tajul kerja. Tapi, hari itu, abang Tajul ambil cuti semata-mata nak melawat Sofie. Ya Allah! Terharu sangat saya. Sanggup dia cuti bekerja untuk melihat Sofie. Terima kasih kak da dan abang Tajul!
Jam 7 malam pula, makcik dan pakcik saya yang tinggal di Gombak pula datang melawat Sofie. Mereka baru pulang dari tempat kerja dan singgah sebantar di IJN untuk melawat Sofie. Terima kasih yang tak terhingga atas lawatan kalian.
-Ada masa lebih kurang 1/2 jam sebelum tamat waktu melawat. Saya naik ke PICU sekali lagi bersama adik saya, Nurul. Hijaz, suami yang jaga di bawah. Sampai di tepi katil Sofie, saya turunkan pagar katil Sofie. Saya mengusap lembut kepala Sofie. Saya pegang tangan Sofie. Saya cium pipi dan dahi Sofie. Saya bercakap dengan Sofie. Setiap kali saya bercakap dengan Sofie, air mata saya tak dapat nak ditahan lagi. Jatuh bagai hujan... Seperti biasa, saya akan bacakan surah al-Fatihah, selawat Ummi, doa nabi yunus dan beberapa surah pendek. Saya juga berdoa semoga Allah kuatkan Sofie untuk meneruskan perjuangan ini. Bagi saya, Sofie umpama srikandi kecil yang kuat berjuang untuk terus hidup. Umi bangga dengan Sofie.
-Waktu saya dah hampir nak turun bawah, sekali lagi, depan mata saya, Sofie bergerak. Kaki dan tangan Sofie bergerak. Muka Sofie berkerut seolah-olah menahan kesakitan. Sofie juga seolah-olah mengerti yang saya akan meninggalkan dia seketika. Nurse datang dan bagi ubat tidur. Saya pegang tangan Sofie, sambil memujuk, "Sofie kena rehat di sini, sayang. Rehat sampai Sofie sembuh. Umi tak boleh lama, waktu dah habis, Esok umi datang lagi." Air mata saya deras sangat. Saya memang sentiasa kalah dengan air mata. Cuba menahan, tapi, tak berjaya. Saya usap kepala Sofie, dan akhirnya Sofie tidur semula. Saya cium tangan dan dahi Sofie. Sebelum pergi, saya mengucapkan terima kasih kepada nurse yang menjaga Sofie.
-Malam tu, saya dan suami balik ke Hulu Langat. Suami tinggal di IJN pun bukan boleh jaga Sofie. Sofie sendirian di PICU. Esoknya, saya melakukan aktiviti yang saya. Sofie, sabar menanti kedatangan umi dan abi ye, sayang!
3 April 2010 (Sabtu)
- Seperti biasa, aktiviti saya dan suami seperti semalamnya. Berada di IJN dan melawat Sofie. Selagi Sofie belum keluar dari PICU, begitulah aktiviti kami. Jam 12.30 tengahhari, saya naik kke PICU bersama suami. Hari ini, ada perkembangan positif. Cuma, Sofie masih bergantung pada alat bantuan pernafasan. Oksigen dalam darah Sofie masih kurang. Saya lihat di skrin monitor, oksigen yang masuk dalam badan Sofie 60%. Masih belum diturunkan peratusannya. Tak pe, bagi peluang keoada Sofie. Saya tak risaukan hal itu kerana bagi saya, kenapa tidak kita bagi peluang kepada Sofie. Sofie pun baru beberapa hari dibedah. Biarlah turun lambat sikit, janji Sofie dalam keadaan stabil. Selama sejam saya bersama Sofie. Puas sangat! Hijaz pun beri kerjasama dengan uminya ini untuk bersama kak chiknya. Terima kasih, sayang.!
- Waktu melawat sessi petang, saya naik sekali lagi bersama suami. Saya lihat di monitor, kadar oksigen diturunkan dari 60% kepada 55%. SPO2 pun cantik, 98-100%. Agak lama saya dan suami bersembang dengan nurse yang menjaga Sofie bertanyakan itu dan ini. Puas rasa di hati. Dalam tempoh 2 jam itu, saya dan suami bergilir-gilir turun dan naik kembali. Hijaz pun tidur dengan nyenyaknya dengan Nurul. Jadi peluang saya bersama Sofie agak lama. Saya orang terakhir turun bila waktu melawat sudah tamat. Saat saya ingin turun ke bawah, nurse cuba menurunkan kadar oksigen lagi, iaitu kepada 50%. Saya lihat skrin, SPO2 Sofie sangat cantik, 98-100% juga. Alhamdulillah. Semoga esok ada berita gembira lagi tentang Sofie. Sebelum turun, seperti biasa, saya bercakap dengan Sofie yang sedang mamai-mamai. Begitulah rutin saya setiap hari.... Saya belum pasti, bila Sofie akan melepasi fasa ini. Namun, saya tetap bersabar. Hati pun semakin kuat. Semoga Sofie juga semakin kuat meneruskan kehidupan ini. Sofielah srikandi saya!
-Saya sebenarnya sempat mengambil gambar Sofie secara curi-curi semasa di PICU hari tu. Jahat saya,kan? Di sini saya kongsikan bersama untuk tatapan sahabat semua.

Tampalan di dada itu ialah kesan bedah Sofie. Sedih sangat tengok. Tak sabar nak menunggu Sofie sihat..

Sofie srikandi umi dan abi yang kuat dan tabah.
- Maaflah, entry saya kali ini agak panjang kerana saya rangkumkan kisah 3 hari Sofie di PICU. Semoga catatan saya kali ini dapat memberikan kepuasan kepada sahabat semua. Saya akan sentiasa updatekan kisah Sofie. Cuma antara lambat atau cepat sahaja yang jadi kayu pengukur. Harap sahabat dan teman sabar menanti cerita Umisofie yer. Doakan Sofie cepat pulih dan sihat. Terima kasih semua....
- Oh yer...saya minta maaf yer, saya tak sempat melawat blog sahabat. Masa saya agak terbatas.